Kebelakangan ini, banyak jenama telah hadir dengan pilihan televisyen pintar mereka sendiri, dari Sony ke Samsung, Huawei, malah jenama peranti seperti Realme dan Xiaomi juga dilihat hadir dengan penawaran televisyen pintar mereka sendiri di pasaran tempatan.
Hisense ialah jenama elektronik yang sudah sedia dikenali untuk siri televisyen yang mampu milik mereka, dan baru-baru ini, mereka telah mengumumkan bahawa mereka akan membawa masuk sejumlah siri televisyen pintar terbaru mereka yang dikuasakan sistem operasi Android dan juga sistem operasi televisyen pintar mereka sendiri yang dinamakan VIDAA.
Bermula dengan siri televisyen Hisense A6500G Android TV, siri televisyen pintar ini hadir dengan sejumlah pilihan saiz paparan, dari 50 inci sehinggalah 75 inci dimana kesemuanya mempunyai resolusi paparan 4K. Ia hadir dengan ciri UHD Upscaler yang dikatakan boleh meningkatkan resolusi kandungan yang ditonton ke resolusi sebenar paparan, dan menyokong sejumlah fungsi televisyen moden seperti sokongan untuk HDR dan sistem audio Dolby Atmost terbina.
Selain daripada penawaran I/O yang biasa seperti HDMI dan USB, siri televisyen Hisense A6500G ini juga hadir dengan sokongan sambungan nirwayar WiFi dan Bluetooth yang memudahkan pengguna untuk menyambungkan pelbagai peranti pada siri televisyen ini.
Lebih menarik lagi, alat kawalan jauh televisyen ini juga hadir dengan sokongan untuk Google Voice yang membolehkan pengguna untuk memberi arahan kepada televisyen pintar ini, seperti untuk membuka dan menutup televisyen, mengaktifkan aplikasi-aplikasi tertentu dan sebagainya.
Siri televisyen kedua yang akan dibawa masuk ialah Hisense A6100G VIDAA TV. Sama seperti Hisense A6500G, siri televisyen ini pula hadir dengan penawaran saiz paparan 43 inci, 50 inci, 55 inci, 58 inci dan 65 inci pada resolusi 4K juga.
Siri televisyen ini menggunakan sistem operasi VIDAA yang berasaskan sistem operasi Android, tetapi dengan antaramuka mereka sendiri. Dari segi penawaran aplikasi, Hisense A6100G hadir dengan aplikasi penstriman video popular seperti YouTube, Netflix dan Amazon Prime Video, bersama-sama sejumlah aplikasi tambahan yang lain.
Diantara keunikan televisyen ini lagi ialah aplikasi Hisense RemoteNOW yang boleh digunakan untuk mengawal televisyen ini sekiranya anda kehilangan alat kawalan televisyen anda.
Menurut Hisense Malaysia, siri-siri televisyen Hisense A6500G Android TV dan Hisense A6100G VIDAA TV ditawarkan sekarang di pengedar-pengedar sah di seluruh Malaysia pada harga-harga berikut:
- Hisense A6500G Android TV (50 inci) – RM2,899
- Hisense A6500G Android TV (55 inci) – RM3,299
- Hisense A6500G Android TV (65 inci) – RM4,399
- Hisense A6500G Android TV (70 inci) – RM5,799
- Hisense A6100G VIDAA TV (50 inci) – RM1,999
- Hisense A6100G VIDAA TV (55 inci) – RM2,699
- Hisense A6100G VIDAA TV (58 inci) – RM3,299
- Hisense A6100G VIDAA TV (65 inci) – RM3,999