Cooler Master MasterFrame 700 Ialah Rangka PC Terbuka Yang Boleh Dijadikan Bangku Ujian Komponen – Berharga RM699

Diterbitkan pada Mei 24, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apabila anda membina sebuah komputer, salah satu daripada benda yang perlu dipertimbangkan ialah rangka komputer yang akan digunakan untuk merumahkan komponen-komponen anda. Kebiasaannya, walaupun rangka PC hadir dengan pelbagai jenis rekaan, ia biasanya hadir dalam bentuk segiempat tepat dengan pelbagai saiz berlainan.

Cooler Master, pembuat aksesori dan perkakasan komputer baru-baru ini memperkenalkan sebuah rangka PC baru yang dinamakan MasterFrame 700 yang merupakan sebuah rangka PC dengan rekaan terbuka yang membolehkan pengguna untuk membina komputer mereka dengan sejumlah cara yang unik.

Satu lagi kelebihan rangka MasterFrame 700 ini ialah rangkanya boleh diubahsuai untuk digunakan sebagai bangku ujian komponen yang biasanya akan digunakan untuk menguji pelbagai komponen komputer dengan mudah.

Rangka ini terbahagi kepada tiga bahagian, dimana bahagian tengah adalah platform untuk papan induk yang boleh memuatkan pelbagai jenis saiz papan induk, termasuklah Mini ITX sehinggalah XL-ATX tanpa sebarang masalah.

Bahagian sayap kiri dan kanan boleh digunakan untuk memuatkan penyejuk radiator bersaiz 360mm ataupun 280mm, dan di belakang bahagian papan induk, terdapat ruangan untuk komponen bekalan kuasa bersaiz ATX.

Cooler Master Malaysia mengatakan bahawa mereka telah mula menawarkan rangka Cooler Master MasterFrame 700 ini di pasaran tempatan bermula hari ini di pengedar sah Cooler Master pada harga RM699.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami