Carian
Kemaskini Kecerdasan Buatan Qualcomm Akan Diedarkan Melalui Google Play Store
May 24, 2021 Fahim Zahar

Tahukah anda yang, setiap cip pemprosesan yang menjana telefon pintar di pasaran, mempunyai cip khusus untuk kecerdasan buatan terbina? Cip ini biasanya membantu prestasi sistem dan aplikasi pada peranti menjadi lebih lancar atau pintar. Dalam Android, kod pembangunan Neural Network API (NNAPI) adalah antara elemen penting bagi menjayakan sesuatu sistem kecerdasan buatan di antara cip pemprosesan dan peranti.

Anda mungkin tidak akan dapat bezakan ataupun sedar apakah yang NNAPI ini lakukan pada peranti. Prestasi keseluruhan tidak akan ada beza ketara, tetapi prestasi sesuatu aplikasi secara individu mungkin. Contoh aplikasi Google Assistant, Google Maps, Google Calendar, atau banyak aplikasi lain yang boleh menjadi pintar untuk memudahkan pengguna – adalah antara aplikasi yang bergantung kepada NNAPI.

Kini, Qualcomm dan Google telah bekerjasama di mana – peranti yang dijana dengan cip Snapdragon akan menerima sokongan kemaskini melalui Google Play Services. Bermakna, kemaskini NNAPI pada peranti anda tidak lagi daripada kemaskini sistem yang perlu disertakan oleh pengeluar – tetapi anda boleh buka Play Store dan semak kemaskini pada aplikasi Google Play Services. Biasanya, aplikasi sistem ini akan melakukan kemaskini automatik kerana merupakan elemen penting GMS.

Dengan kata lain, saiz kemaskini anda akan menjadi semakin kecil dan lebih pantas untuk pengeluar edarkan kemaskini. Ia adalah seakan Windows, di mana pemacu-pemacu perisian atau pemandu perisian seperti grafik, cip pemprosesan, rangkaian, audio diedarkan pada kemaskini sistem Windows. Android kini semakin bijak dan semakin pintar. Tetapi sayang sekali, ia masih terhad kepada cip Snapdragon. Kita perlu nantikan dan lihat sama ada MediaTek ingin tawarkan atau tidak kaedah kemaskini ini pada cip Helio atau Dimensity mereka. Sama-sama kita nantikan kehadiran ciri ini dalam Android 12 kelak.

Komen