Apabila kita menonton filem atau sesuatu rancangan menarik yang digemari, pasti kita ingin tonton dalam keadaan paling selesa serta memberi pengalaman yang memuaskan. Menstrim video sudah tentu pada televisyen bersaiz besar, panel OLED atau QLED dan lain-lain lagi. Tetapi pengalaman indah ini akan tergangu apabila berlakunya masalah piksel mati pada skrin.
Antara sebab piksel mati adalah televisyen itu sudah usang atau terkena tekanan seperti terjatuh dan sebagainya. Tetapi, apabila anda tonton di Netflix walaupun dengan televisyen baharu – ada kemungkinan besar anda akan melihat 3-4 titik piksel mati. Jangan risau, ia tidak kekal dan bukan salah televisyen anda. Tetapi adalah masalah dalam Netflix sendiri. Sehingga hari ini sudah ramai melaporkan yang apabila menonton banyak filem atau drama, kesan piksel mati akan kelihatan.
Saya secara peribadi tidak pernah sedari akan isu ini. Tetapi sejak filem Army of the Dead disiarkan, ada yang bertanya kepada saya kenapa filem ini ada piksel mati? Untuk kes filem ini, Zack Snyder menggunakan kamera Red buatan khas dengan lensa vintaj Canon Dream tahun 1960-an. Jadi kemungkinan besar ada masalah pada sensor. Tetapi, menurut laporan Variety ada pengguna mula sedari akan isu ini sejak filem Extraction lagi pada tahun lepas.
Kebanyakan siri TV atau filem Netflix yang menggunakan visual grafik tinggi seperti Jupiter’s Legacy atau Shadow and Bone dikatakan akan ada masalah piksel mati ini. Tambahan sumber lagi, seorang wakil yang berada dalam industri perfileman menyatakan – isu seperti ini biasanya berlaku jika proses penggambaran ingin dirakam dengan kaedah paling analog. Tetapi semasa pasca-proses seperti suntingan, CGI dan lain-lain tidak akan sesekali mereka terlepas pandang.
Disebabkan isu ini mula disedari orang ramai melalui filem Army of the Dead, filem ini kini diejek sebagai filem Army of the Dead Pixel.