Valve Membangunkan Prototaip Konsol Permainan Mudah-Alih Seakan-akan Nintendo Switch

Diterbitkan pada Mei 26, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Valve ialah syarikat pembangun permainan yang cukup dikenali untuk permainan-permainan komputer seperti Team Fortress 2, Half Life dan juga platform pembelian permainan komputer yang paling terkenal di dunia, iaitu Steam.

Dari segi perkakasan, Valve sebelum ini pernah hadir dengan pengawal permainan Steam Controller dan juga aksesori Steam Link yang membolehkan pemain untuk menstrim permainan mereka daripada komputer desktop mereka terus ke televisyen di ruang tamu yang membolehkan pemain untuk mengakses pengkalan permainan mereka dari luar bilik mereka.

Terkini, ia dilaporkan bahawa Valve sedang membangunkan sebuah konsol permainan video yang seakan-akan sama seperti konsol Nintendo Switch yang hadir dengan paparan skrin sesentuh, dua kayu pengawalan input dan butang-butang. Ia juga dikatakan akan hadir dengan dermaganya sendiri, yang boleh digunakan dalam mod kendiri ataupun mod dermaga juga.

ArsTechnica mengatakan bahawa konsol ini, yang telahpun melepasi fasa prototaip dimana ia diberi nama kod SteamPal, dan akan diperkenalkan menjelang penghujung tahun ini, dan mungkin akan bersaing dengan Nintendo Switch Pro yang diwar-warkan akan diperlihatkan sekitar jangkamasa yang sama.

Ini bukanlah kali pertama Valve telah cuba untuk membina konsol permainan mereka sendiri. Dengan platform Steam, mereka telah membangunkan prototaip Steam Machine yang sebelum ini dibina oleh pelbagai pembuat komputer, tetapi oleh kerana sokongan yang tidak selari dan konfigurasi dan tanda harga berbeza daripada satu sistem ke sistem yang lain, orang ramai merasakan bahawa membina PC mereka sendiri adalah lebih murah dan lebih berkuasa apabila dibandingkan dengan Steam Machine.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami