Carian
ASUS Memperkenalkan Siri Chromebook CM3 Dalam Rekaan Komputer Riba 2-Dalam-1
May 26, 2021 Nazrin

Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa peranti Chromebook, iaitu komputer riba yang dikuasakan oleh sistem operasi Google ChromeOS telah mencatatkan jumlah jualan yang tertinggi pada tahun lepas kerana permintaan yang tinggi untuk mesin produktiviti yang boleh digunakan di rumah, pejabat atau di mana-mana sahaja.

ASUS, jenama pembuat komponen komputer dan komputer riba terkemuka baru sahaja memperkenalkan dua buah model Chromebook dibawah siri ASUS Chromebook CM3, yang terdiri daripada ASUS Chromebook CM3 Detachable dan ASUS Chromebook CM3 Flip.

Bermula dengan ASUS Chromebook CM3 Detachable, komputer riba ini hadir dengan paparan bersaiz 10.5 inci dengan resolusi 1920×1200 dengan nisbah paparan 16:10 yang mempunyai kecerahan 320nit.

ASUS Chromebook CM3 ini dikuasakan oleh CPU MediaTek MTK8183, memori DDR4 sebanyak 4GB dan juga pilihan storan dalaman eMMC 64GB sehingga 128GB.

Dari segi I/O pula, ia hadir dengan satu palam USB Type-C, satu palam audio 3.5mm, dan bahagian paparannya boleh dicabutkan daripada papan kekunci melalui sambungan pin pogo di bahagian bawah paparan tersebut. Fungsi ini membolehkan bahagian paparan Chromebook CM3 Detachable ini digunakan sebagai sebuah tablet jika diingini.

Rekaan peranti ini mengambil ilham daripada peranti-peranti tablet seperti Microsoft Surface Pro yang mempunyai tapak di bahagian belakang yang membolehkan ia didirikan tidak kira mod tablet ini digunakan, samada dengan papan kekunci ataupun tidak.

Beralih kepada ASUS Chomebook Flip CM3 pula, ia hadir dengan paparan bersaiz 12 inci yang mempunyai resolusi yang lebih rendah berbanding dengan Chromebook CM3 Detachable. Ia dikuasakan CPU yang sama, tetapi juga mempunyai pilihan memori lebih tinggi pada 8GB, tetapi satu pilihan storan eMMC bersaiz 64GB.

Dari segi I/O, ia hadir dengan palam satu palam USB Type-A dan satu palam USB Type-C bersama-sama dengan pembaca kad MicroSD.

Kedua-dua model ASUS Chromebook CM3 Detachable dan ASUS Chromebook Flip CM3 ini sudahpun hadir di beberapa pasaran terpilih. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi jika ia telah atau akan memasuki pasaran tempatan.

Komen