Beberapa Wartawan Di Gaza Dihalang Akses Ke Perkhidmatan WhatsApp

Diterbitkan pada Mei 26, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

WhatsApp kini telah menjadi salah satu medium komunikasi utama yang digunakan ramai. Ini adalah termasuklah untuk wartawan dalam mendapatkan informasi terkini, atau bertukar-tukar info.

Apa pun, di Gaza, beberapa wartawan Palestin dilihat menghadapi masalah apabila dihalang daripada mengakses aplikasi WhatsApp.

Mengikut laporan AP, beberapa wartawan yang berpusat di Gaza dihalang akses ke akaun WhatsApp mereka sejak hari Jumaat lepas – dan hanya sekitar 4 orang yang telah menerima akses kembali sejak hari Isnin ini. Perkara ini sekaligus memberikan kesan dalam melakukan semakan dan komunikasi untuk melaporkan sebarang berita terkini di Gaza.

Menurut semakan AP, sekitar 12 orang wartawan daripada 17 orang yang ditemuramah turut mengikuti sebuah kumpulan WhatsApp untuk mendapatkan info terkini berkaitan Hamas. Ia tidak diketahui sama ada mereka terkesan disebabkan mengikuti kumpulan WhatsApp ini atau sebaliknya.

Pihak WhatsApp mengatakan mereka akan menghalang beberapa akaun jikalau melanggar polisi syarikat. Pada masa yang sama, WhatsApp turut menekankan yang mana mereka telah berhubung dengan wartawan yang terkesan, dan akan mengembalikan semula akses kepada yang terjejas.

Sebelum ini, pada tahun 2019 yang lepas, sejumlah wartawan di Gaza turut telah dihalang akses ke WhatsApp tanpa sebab – tetapi dikembalikan semula akses selepas menghubungi pihak WhatsApp.

Sebelum ini, syarikat disebalik WhatsApp, iaitu Facebook turut dikritik kerana membuang perkongsian melibatkan Palestin pada platform mereka dan Instagram.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami