Cari @ Amanz

ARM hari ini mengumumkan tiga CPU baharu yang bakal digunakan oleh peranti bermula 2022. Kesemua cip ini adalah di bawah senibina terkini ARMv9 yang diumumkan oleh mereka pada April lalu. CPU Cortex-X2 ialah yang paling berkuasa untuk digunakan bukan sahaja pada peranti mercu Android tetapi juga komputer riba. Ia menjanjikan peningkatan prestasi sehingga 30% berbanding CPU generasi semasa.

Seterusnya ialah Cortex-A710 yang menggantikan Cortex-A78, yang menjanjikan peningkatan prestasi sehingga 10% dan tetapi sehingga 30% lebih efisien. Cortex-510 pula adalah pengganti kepada Cortex-A55 yang selama ini digunakan sebagai teras kuasa rendah pada cip pemproses seperti Snapdragon 888. Ia adalah kali pertama dalam empat tahun CPU teras kuasa rendah ini dikemaskini.

Sungguhpun begitu kuasa rendah di sini bukanlah pengelasan yang tepat kerana Cortex-A510 menawarkan peningkatan prestasi sehingga 35% berbanding Cortex-A55. Ini menurut ARM membolehkan ia dijadikan CPU pilihan pada peranti pintar kelas permulaan, jam tangan pintar dan peranti berhubung di rumah.

Dengan cip M1 membuktikan senibina ARM ialah masa hadapan dunia pengkomputeran, ARM telah melancarkan tiga CPU Ini yang pastinya akan memacu perkembangan peranti pintar yang lebih pantas tetapi efisien.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd