Selain tiga CPU terkini ARMv9 untuk peranti tahun 2022, ARM turut melancarkan empat lagi GPU Mali untuk tujuan yang sama. GPU Mali-G710 adalah yang paling berkuasa dengan peningkatan prestasi sehingga 20% untuk tugasan berat dan sehingga 35% untuk pembelajaran mesin. Ia akan digunakan pada cip mercu pada peranti pintar dan Chromebook.
Konfigurasi yang ditawarkan ialah di antara 7 hingga 16 teras yang boleh di konfigurasi oleh pengeluar cip pemproses. Ini adalah lebih kecil berbanding sehingga 25 teras pada Mali-G78 tetapi ARM mengatakan kerana prestasi yang lebih tinggi, besar dan efisien tenaga, Mali-G710 masih lebih berkuasa.
GPU Mali-G610 pula berkongsi kesemua ciri G710 cuma penawaran di antara 1-6 teras sahaja. Pemproses yang menggunakan Mali-G610 boleh menawarkan pengalaman permainan grafik yang tinggi pada harga lebih rendah khususnya untuk sub-premium.
GPU Mali-G510 pula adalah untuk peranti kelas pertengahan dan juga televisyen pintar dengan peningkatan prestasi sehingga 100%, peningkatan pembelajaran mesin 100% lebih baik tetapi 22% lebih baik dari segi penggunaan tenaga berbanding GPU Mali-G57.
Akhir sekali ialah GPU Mali-G310 adalah untuk peranti kelas permulaan dan peranti boleh pakai. Ia adalah pengganti kepada GPU Mali-G31 dengan peningkatan prestasi Vulkan 4.5X, tekstur 6X dan UI Android 2X. Ia adalah GPU kelas permulaan pertama ARM yang menggunakan senibina Valhall.
Dengan keempat-empat GPU terkini ini, ARM ingin menguasai pelbagai peranti bermula dari komputer riba, telefon pintar higggalah jam pintar yang dipakai di pergelangan tangan dan kotak TV digital.