GIGABYTE Memperkenalkan Siri Komputer Riba GIGABYTE Gaming Untuk Mereka Yang Lebih Mementingkan Prestasi Dari Gaya

Diterbitkan pada Mei 26, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jenama GIGABYTE dikenali orang ramai sebagai jenama pembuat komponen dan perkakasan komputer yang cukup terkenal. Mereka juga hadir dengan sejumlah jenama komputer riba seperti GIGABYTE AORUS dan Aero yang memfokuskan kepada gaming dan juga produktiviti.

Terkini, mereka telah memperkenalkan sebuah lagi model komputer riba gaming, kali ini memfokuskan kepada prestasi gaming dan produktiviti sepenuhnya, tanpa terlalu menghiraukan rekaan rangka.

Model yang diperlihatkan spesifikasi dalamannya ialah GIGABYTE Gaming A7, sebuah komputer riba dengan paparan IPS bersaiz 17.3 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz.

Dari segi komponen dalaman, ia dikuasakan CPU AMD Ryzen 9 5900HX, pilihan memori DDR4 sehingga 64GB dan tiga slot SSD M.2 NVMe PCIe yang boleh dimuatkan dengan storan SSD pilihan anda sehingga 6TB.

GIGABYTE Gaming A7 ini juga dimuatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan komputer pada resolusi QHD dengan kadar segar semula yang tinggi.

Komputer riba ini juga hadir dengan sejumlah besar palam I/O, seperti satu palam USB 2.0 Type-A, satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB 3.2 Type-C, satu palam HDMI 2.0 dan satu palam mini DisplayPort 1.4.

Menyejukkan komputer riba ini ialah sistem penyejukan WINDFORCE yang hadir dengan dua sistem kipas yang menyejukkan komponen CPU dan GPU dan memastikan ia beroperasi dalam kadar optimum pada bila-bila masa.

Siri komputer riba GIGABYTE Gaming ini sudah mula ditawarkan di beberapa pasaran terpilih, dan akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami