Carian
Iran Mengharamkan Perlombongan Kripto Kerana Mengakibatkan Gangguan Bekalan Elektrik
May 27, 2021 Effi Saharudin

Iran telah mengharamkan perlombongan kripto selama empat bulan di negara tersebut kerana mengakibatkan gangguan bekalan elektrik. Dianggarkan perlombongan kripto menggunakan 2GW tenaga elektrik setiap hari sehingga membebankan grid tenaga negara yang kini terjejas akibat kemarau berpanjangan.

Perlombongan akan diharamkan sehingga 22 September. Di Iran perlombongan adalah aktiviti yang dibenarkan oleh kerajaan asalkan ianya berdaftar dan kemudian wang kripto tersebut dijual kepada Bank Pusat Iran. Dengan sekatan ekonomi dikenakan ke atas Iran serta jualan minyak dihadkan, wang kripto digunakan oleh Iran bagi menjana pendapatan negara.

Dianggarkan 85% perlombongan kripto di negara asal usul Xerxes ini dilakukan secara haram. Selepas pengumuman dilakukan oleh Presiden Hassan Rouhani, kesemua pelombong berdaftar telah menghentikan operasi. Iran menjadi lubuk kripto kerana ianya dibenarkan kerajaan dan tarif elektrik yang rendah. Pelombong dari Rusia dan negara Eropah Timur menjadikan Iran sebagai pusat operasi mereka.

Komen