Dunia perlahan-lahan kembali kepada normal dengan acara sukan dan konsert mula dibenarkan di beberapa negara dengan kadar vaksinasi yang tinggi. Walaupun Amerika Syarikat telah berjaya memberikan suntikan vaksin kepada 50% penduduk dewasa, Blizzard masih merasakan mereka belu bersedia untuk kembali menganjurkan Blizzcon tahun ini.
Acara yang sepatutnya berlangsung pada November 2021 kini telah ditangguhkan ke sebuah acara global baharu pada awal 2022. Keputusan diambil selepas mengambil kiri kemampuan Blizzard untuk menganjurkan acara secara bersemuka dengan selamat serta memenuhi keperluan peminat. Faktor ini membuatkan mereka merasakan jika diteruskan, acara tidak akan dapat dilakukan dengan sempurna. Ini ialah tahun kedua Blizzcon dibatalkan akibat pandemik Covid-19.
Selain Blizzcon, IFA 2021 turut telah dibatalkan tetapi MWC Barcelona masih diteruskan oleh GSMA dengan sasaran hampir 20,000 pengunjung walaupun tanpa kehadiran banyak jenama pengeluar telefon pintar tahun ini.