Cari @ Amanz

Universal Flash Storage 3.1 ialah platform storan flash terbaru yang bukan sahaja hadir dengan kadar pembacaan dan penulisan data yang pantas, tetapi hadir dengan sejumlah ciri-ciri baru yang membolehkannya dimanfaatkan bukan sahaja dalam peranti pengguna, tetapi pelbagai jenis industri yang lain seperti automotif, IoT, perindustrian dan sebagainya.

Terkini, Western Digital mengumumkan bahawa mereka akan memasuki arena storan flash terbaru ini dengan penawaran cip storan UFS 3.1 mereka sendiri. Pembuatan cip storan UFS 3.1 mereka mengikuti spesifikasi yang ditetapkan oleh JEDEC, dan sedia untuk digunakan dalam pelbagai jenis peranti sebagai storan terbina, termasuklah peranti pintar, kereta elektrik/pintad, dron, mesin-mesin di dalam sektor pengilangan, dan juga dalam peranti-peranti berhubung yang boleh memanfaatkan sambungan internet WiFi6 dan juga 5G.

Tiga ciri utama yang diperkenalkan oleh UFS 3.1 termasuklah Write Booster yang meningkatkan lagi kelajuan penulisan data berbanding sebelum ini, DeepSleep. sebuah ciri penggunaan kuasa rendah yang membolehkan peranti berkongsi pengatur voltan UFS (voltage regulator) dengan fungsi-fungsi peranti yang lain dan Performance Throttling Notification, dimana sistem UFS boleh memberitahu peranti bahawa storan menghadapi masalah akibat kekurangan ruangan ataupun suhu yang melampau.

Western Digital mengatakan bahawa pengilangan cip storan UFS 3.1 sudahpun dimulakan, dimana ia akan diuji oleh pelbagai pihak dan syarikat didalam peranti-peranti mereka, dan menjangkakan bahawa peranti dan kelengkapan yang menggunakan cip storan UFS 3.1 mereka akan diperkenalkan sekitar separa kedua 2021 ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd