Acer Swift X Diperkenalkan – Komputer Riba Nipis dan Ringan Pertama Yang Dilengkapi Kad Grafik NVIDIA GeForce RTX 3050

Diterbitkan pada Mei 27, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri komputer riba Acer Swift biasanya dikenali orang ramai sebagai siri komputer riba produktiviti yang nipis dan ringan yang hadir dalam pelbagai jenis konfigurasi bergantung kepada keperluan seseorang.

Terkini, di acara Acer Global Press Conference, Acer telah mengemaskini sekali lagi siri Acer Swift dengan memperkenalkan Acer Swift X, iaitu komputer riba produktiviti nipis dan ringan pertama mereka yang hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX.

Acer Swift X hadir dengan paparan IPS bersaiz 14 inci pada resolusi Full HD yang boleh menunjukkan gamut warna sRGB 100 epratus, dikuasakan CPU AMD Ryzen 7 5800U, memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga pilihan storan SSD NVMe sebesar 2TB. Lebih menarik lagi, Acer Swift X juga merupakan komputer riba pertama didalam siri ini yang hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050.

Menariknya, Acer mampu memuatkan semua komponen-komponen berkuasa ini didalam sebuah rangka dengan ketebalan 17.9mm dengan berat 1.3KG sahaja. Sistem penyejukan Acer Swift X ini juga memperlihatkan rekaan baru yang mampu mengalirkan sebanyak 8-10 peratus udara tambahan kedalam dan keluar komputer riba ini untuk memastikan ia mampu beroperasi secara optimum sepanjang masa.

Bagi mereka yang mahukan sebuah komputer riba yang bukan sahaja mudah dibawa kemana-mana, tetapi mempunyai prestasi perkomputeran dan grafik yang berkuasa, Acer Swift X mungkin sesuatu yang boleh anda pertimbangkan.

Acer mengatakan bahawa komputer riba Acer Swift X ini akan tiba di pasaran antarabangsa terpilih tidak lama lagi.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami