SanDisk Professional Ialah Siri Storan Profesional Terbaru Dari SanDisk Untuk Profesional Kreatif

Diterbitkan pada Mei 27, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

SanDisk ialah jenama storan pengguna dibawah Western Digital yang sebelum ini hanya memfokuskan kepada pengguna biasa dan mereka yang baru berkecimpung dalam bidang perindustrian kreatif. Terkini, SanDisk dilihat akan memasuki arena tersebut sepenuhnya dengan penjenamaan perkakasan storan profesional dibawah nama SanDisk Professional.

Pertama ialah kad PROCINEMA CFexpress VPG400 yang boleh merakam video pada kadar penulisan data 400MB/s. Kad storan ini bukan sahaja mampu merakam video pada resolusi 8K, tetapi juga mampu merakam video dengan kadar bit yang tinggi, khususnya untuk mereka yang merakam video dalam format RAW, ataupun dengan ruangan warna 10bit.

Kad storan yang berkapasiti tinggi ini juga memerlukan sebuah pembaca kad dengan kadar pembacaan dan penulisan data yang tinggi. Di sini, SanDisk memperkenalkan siri aksesori pembaca kad SanDisk PROREADER yang boleh membaca pelbagai format kad, termasuklah CFast, CFexpress, RED Mini-Mag, CF, microSD dan SD. Pembaca kad ini hadir dengan kadar pembacaan data 10Gbps.

Jika anda memerlukan sebuah aksesori yang mampu memindahkan kandungan daripada sejumlah kad media sekaligus, SanDisk PRO-DOCK 4 membolehkan anda untuk memindahkan kandungan beresolusi tinggi dengan cepat daripada empat kad media sekaligus. Ini khususnya sangat berguna untuk lokasi penggambaran yang menggunakan sistem multi-kamera.

Untuk mereka yang memerlukan kapasiti storan yang besar dan pantas untuk menyimpan rakaman video mereka, SanDisk turut menyertakan G-DRIVE ArmorLock Encrypted NVMe SSD, bersama-sama dengan storan tahan lasak G-RAID dan G-Shuttle yang menggunakan cakera keras WD Ultrastar untuk ketahanan lama dalam apa jua situasi.

Menurut SanDisk, aksesori-aksesori dan perkakasan ini akan tiba di pasaran antarabangsa tidak lama lagi. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai siri SanDisk Professional ini anda boleh melayari laman web mereka.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami