Acer Memperkenalkan Predator Triton 500 SE – Komputer Riba Gaming Dengan Rekaan Minimalis Dan Prestasi Maksima

Diterbitkan pada Mei 27, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri komputer riba gaming Predator Triton 500 ialah komputer riba gaming keluaran Predator yang bukan sahaja mempunyai rekaan minimalis yang lebih nipis berbanding komputer riba gaming biasa, tetapi ia juga masih mampu memuatkan komponen-komponen yang paling berkuasa di pasaran sekarang.

Kemaskini terbaru model komputer riba tersebut, yang dinamakan Predator Triton 500 SE hadir dengan paparan skrin 16 inci dengan tiga pilihan paparan yang berbeza bergantung kepada keperluan anda. Kesemua pilihan paparan hadir dengan nisbah paparan 16:10, resolusi WQXGA dan juga kadar segar semula tinggi 165Hz sehingga 240Hz, manakala pilihan panel termasuklah LCD, Mini LED dan juga IPS PolarBack.

Dari segi komponen dalaman, Triton 500 SE hadir dengan pilihan CPU Intel Generasi ke-11 Tiger Lake sehinggalah model CPU Intel Core i9, memori DDR4 sebanyak 64GB dan juga pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 3080. Semua komponen-komponen in dimuatkan dalam rekaan rangka komputer riba yang mempunyai ketebalan 19.9mm sahaja, menjadikannya sebuah komputer riba yang mudah dibawa kemana-mana.

Ia juga hadir dengan teknologi-teknologi baru seperti sokongan untuk WiFi6 dan juga teknologi penghantaran data pantas Thunderbolt 4 terbaru yang disokong cip-cip pemprosesan terbaru Intel secara natif.

Komputer riba gaming secara lazimnya akan hadir dengan dua kipas penyejukan untuk menyejukkan CPU dan GPU, tetapi sistem penyejukan Acer VortexFlow hadir dengan tiga buah kipas Aeroblade 3D generasi ke-5 untuk memastikan ia bukan sahaja boleh menyedut lebih banyak udara sejuk, tetapi menghembus lebih banya udara panas juga untuk memastikan komponen-komponen ini beroperasi pada tahap optimum.

Bercakap mengenai prestasi optimum, Acer juga mengatakan bahawa Predator Triton ini boleh digunakan selama 12 jam dengan satu pengecasan penuh.

Sebagai penambahan rekaan yang baru, Predator Triton 500 Se hadir dengan sistem pencahayaan Predator Pulsar yang terdiri daripada pencahayaan papan kekunci dan bar cahaya yang boleh diubahsuai melalui perisian PredatorSense.

Acer mengatakan bahawa komputer riba Predator Triton 500 SE ini akan tiba di pasaran antarabangsa terpilih tidak lama lagi.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami