Predator Helios 500 Dikemaskini Dengan CPU Intel Core i9 Tiger Lake Yang Boleh Dilewahjam Dan Paparan 4K Mini LED

Diterbitkan pada Mei 27, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri Predator Triton 500 30 ialah komputer riba gaming untuk gamer bangsawan yang mahukan sebuah komputer riba yang hadir dengan prestasi sebuah komputer gaming desktop.

Kemaskini Helios 500 terbaru ini dimuatkan dengan sejumlah besar komponen dan kelengkapan yang membuatkannya sebuah mesin tanpa kompromi. Dari segi paparan, ia hadir dengan pilihan paparan bersaiz 17.3 inci yang menggunakan panel Mini LED dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 120Hz, ataupun panel Mini LED AUO dengan resolusi Full HD dengan kadar segar semula 360Hz.

Predator Helios 500 terbaru ini juga dimuatkan dengan CPU Intel Core i9 generasi ke-11 yang boleh dilewahjam, memori DDR4 sebanyak 64GB dan dua slot untuk SSD NVMe PCIe dan satu cakera keras bersaiz 2.5mm jika jumlah storan yang sangat banyak diperlukan.

Ia juga dikuasakan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 untuk mereka yang mahu memanfaatkan paparan beresolusi 4K ataupun paparan luaran yang beresolusi dan kadar segar semula tinggi. Gabungan kesemua komponen-komponen ini membolehkan pengguna untuk bukan sahaja memainkan permainan-permainan komputer kegemaran mereka, ia juga boleh digunakan untuk menstrim permainan-permainan ini secara atas talian menggunakan satu mesin sahaja.

Menyejukkan komponen-komponen ini ialah gabungan polimer Acer Power Gem dan juga sistem penyejukan Vortex Flow yang hadir dengan tiga kipas penyejuk Acer AeroBlade generasi ke-5 untuk memastikan bahawa komponen-komponen didalam komputer riba beroperasi pada tahap optimum pada bila-bila masa sahaja.

Ia juga hadir dengan sejumlah besar pilihan I/O seperti palam USB 3.2 Type-A, Thunderbolt 4, HDMI 2.1 dan palam RJ-45 Cat-5 yang membolehkan pengguna untuk menyambung komputer riba ini menggunakan kabel jika sambungan WiFi6 yang terbina tidak memadai.

Sama dengan Predator Triton 500 SE, Predator Helios 500 juga hadir dengan sistem pencahayaan Predator Pulsar yang terdiri daripada pencahayaan papan kekunci dan bar cahaya yang boleh diubahsuai melalui perisian PredatorSense.

Acer mengatakan bahawa komputer riba Predator Helios 500 ini akan tiba di pasaran antarabangsa terpilih tidak lama lagi.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami