Samsung ternyata merancakkan kembali pasaran peranti pintar apabila berjaya mencuri perhatian ramai dengan pengenalan terkini rangkaian siri Galaxy A, beberapa bulan yang lalu. Selain daripada Samsung Galaxy A52, Galaxy A52 5G dan Galaxy A72, pengguna di Malaysia turut diberikan dua lagi pilihan model lain untuk rangkaian siri berkenaan. Peranti pintar yang dimaksudkan adalah Samsung Galaxy A32 LTE dan Samsung Galaxy A32 5G. Kedua-duanya dijual pada harga lebih rendah iaitu bermula RM1099 untuk seunit.
Samsung Galaxy A32 dan Galaxy A32 5G merupakan peranti pintar dengan dua “latar belakang” berbeza meskipun berkongsi struktur binaan yang sama. Ini adalah sama seperti apa yang oleh Samsung dilakukan pada Samsung Galaxy A52 dan Samsung A72 sebelum ini. Bagi mereka yang mungkin kekurangan bajet, tetapi masih mahu nikmati pengalaman menggunakan salah satu daripada model terkini di bawah siri Samsung Galaxy A.
Kedua-dua model ini dirasakan cukup sesuai untuk anda. Harganya yang lebih mesra poket tanpa perlu mengikat perut untuk menyimpan wang. Baiklah, tanpa melengahkan masa. Mari ketahui lebih lanjut mengenai Samsung Galaxy A32 LTE dan Samsung Galaxy A32 5G menerusi artikel ulasan ini :
Spesifikasi Ringkas Peranti :
Peranti Pintar | ||
---|---|---|
Nama Model | Samsung Galaxy A32 LTE | Samsung Galaxy A32 5G |
Paparan | 6.4-inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-U Display, 411 PPI, 90Hz | 6.5-inci TFT LCD HD+ (1080 x 2400), Infinity-U Display, 270 PPI |
Pemproses | Mediatek Helio G80 (12nm) | MediaTek Dimensity 720 5G (7nm) |
Cip | 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 | 2 x 2.0 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Kalis Air | Tiada | Tiada |
RAM | 8GB | 8GB |
Muatan Dalaman | 128GB | 128GB |
Kamera Utama | 64MP (f/1.8) – (Utama) 8MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar) 5MP (f/2.4) – (Kedalaman) 5MP (f/2.4) – (Makro) | 48MP (f/1.8) – (Utama) 8MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar) 5MP (f/2.4) – (kedalaman) 2MP (f/2.4) – (Makro) |
Kamera Depan | 20MP (f/2.0) | 13MP (f/2.0) |
Bateri | 5,000mAh + Pengecasan 15W | 5,000mAh + Pengecasan 15W |
Sim/Telefoni | Nano SIM + Nano SIM + MicroSD | Nano SIM + Nano SIM / MicroSD |
Sistem Imbasan | Pengimbas Cap Jari Skrin & Imbasan Wajah | Pengimbas Cap Jari Sisi & Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1,099 | RM1,199 |
Rekaan :
Ibarat pelanduk dua serupa, begitulah apa yang boleh dikatakan mengenai rekaan fizikalnya. Keliru? Malah jika diletakkan kedua-dua peranti pintar ini secara bersebelahan, sudah tentunya agak sukar untuk kita membezakan yang mana satu adalah Samsung Galaxy A32 dan Galaxy A32 5G. Namun begitu, kedua-duanya masih mempunyai perbezaan agak ketara dari pelbagai aspek – termasuklah saiz skrin, cip pemproses, tetapan sensor kamera utama dan kamera swafoto.
Dari segi kemasan harus kami katakan ianya cukup baik dan menarik. Walaupun panel belakang diperbuat daripada plastik. Tetapi, ia langsung tidak terasa murah. Malah, kemasannya kelihatan seakan-akan kaca yang memantulkan cahaya. Kemasan bahagian tepi yang melengkung turut memberikan keselesaan ketika ianya digenggam. Secara keseluruhannya, kami merasakan kedua-dua model ini merupakan telefon pintar yang kemas binaannya. Bukan itu sahaja, saiz tubuh yang ideal juga ternyata memudahkan peranti pintar untuk dibawa ke mana-mana sahaja.
Cumanya, panel sebegini terlalu mudah memerangkap kotoran cap jari. Kemudiannya, ia menjadi terlalu kotor sehingga menimbulkan rasa sedikit kurang menyenangkan. Sudah tentulah anda perlu sentiasa membersihkannya dengan kerap. Bukan itu sahaja, ia juga sangat mudah tergelincir daripada genggaman ekoran tubuhnya yang licin. Lebih mengecewakan, pembelian untuk mana-mana variasi Samsung Galaxy A32 langsung tidak disertakan dengan sebarang kerangka pelindung percuma. Jadinya, anda perlulah mendapatkannya secara berasingan untuk perlindungan peranti lebih menyeluruh daripada kotoran mahupun calar.
Susun atur butang standard untuk kedua-dua model juga hampir kesemuanya sama sahaja. Kecuali, sokongan butang kuasa pada Samsung Galaxy A32 5G turut boleh berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Berbeza pula dengan Samsung Galaxy A32 LTE yang disertakan sokongan pengimbas cap jari dalam paparan. Dari segi prestasi, kedua-duanya mampu untuk menyah kunci peranti pintar dengan baik. Akan tetapi, sokongan pengimbas cap jari sisi pada Galaxy A32 5G dirasakan lebih memudahkan pengguna.
Di mana, sokongan sebegini adalah pilihan yang baik dalam menawarkan proses menyahkunci yang lebih pantas. Melaluinya, anda hanya perlu meletakkan jari sahaja dan peranti pintar akan di nyahkunci dengan serta-merta. Namun lain pula ceritanya dengan pengimbas cap jari pada Galaxy A32 LTE – yang mana ianya agak mengambil sedikit masa. Tetapi tidaklah sehingga menimbulkan rasa yang menjengkelkan. Dalam erti kata mudah, kebolehannya masih di tahap yang boleh diterima.
Lain-lain sama sahaja – butang laras suara juga boleh ditemui pada sisi kiri. Binaan butang-butang ini cukup kukuh bagi memastikan keselesaan ketika jari menekan. Seterusnya, slot untuk dwi-SIM dan kad microSD pula ditempatkan pada sisi kiri. Kemudian, bahagian bawah terdapatnya pembesar suara, port sambungan USB-C dan akses untuk anda mendengar audio menerusi bicu audio 3.5mm. Samsung Galaxy A32 LTE dan Galaxy A32 5G boleh didapati dalam empat varian warna – seperti Awesome Black, Awesome White, Awesome Blue dan Awesome Violet.
Seperkara lagi yanh perlu diketahui, sokongan slot SIM pada kedua-dua peranti adalah berbeza. Di mana, Samsung Galaxy 32 LTE menyokong menyokong sehingga tiga slot kad berbeza untuk memudahkan penggunaan kad microSD dan dwi-SIM secara serentak. Berbeza dengan Samsung Galaxy 32 5G yang direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2).
Paparan :
Bergerak pada panel hadapan, baiklah di sini terdapat beberapa perbezaan ketara yang boleh dilihat. Secara kasarnya, kedua-duanya menggunakan panel hadapan dengan rekaan bertakuk kecil. Sebenarnya, rekaan sebegini boleh dianggap sedikit ketinggalan zaman kerana kebanyakan peranti pintar terkini Samsung sedia menyokong paparan berlubang. Kemudian, saiz bezel pada kedua-duanya juga kelihatan mempunyai saiz yang purata kecuali bahagian dagu yang masih tebal.
Meskipun begitu, Samsung Galaxy A32 LTE memberi sedikit kelebihan menerusi penggunaan panel sejenis AMOLED FHD+ dengan ketumpatan piksel 450ppi. Bukan itu sahaja, kelebihan turut terdapat pada versi LTE – di mana paparannya menyokong kadar segar semula yang tinggi mencecah 90Hz. Tidak seperti, Samsung Galaxy A32 5G yang sedikit rendah dengan panel TFT LCD dan hanya menyokong resolusi HD+ bersama ketumpatan piksel 270 ppi. Namun begitu, anda juga perlu tahu bahawa saiz pada model Samsung Galaxy A32 5G adalah lebih besar berbanding versi LTE. Di mana, Samsung Galaxy A32 LTE hanya berbekalkan skrin berukuran 6.4-inci. Sementara itu, skrin pada Samsung Galaxy A32 5G pula bersaiz 6.5-inci.
Dari segi prestasi, kedua-duanya memberikan hasil kualiti paparan yang baik untuk digunakan. Melaluinya, anda boleh melihat setiap kandungan dengan pewarnaan baik bersama tahap kecerahan yang tinggi. Selain itu, kedua-duanya juga mampu memberikan darjah pandangan skrin memuaskan. Cumanya, skrin LCD pada model Samsung Galaxy A32 5G tidaklah begitu tajam dan menonjol seperti mana kualiti yang dipersembahkan oleh versi LTE.
Ini disebabkan oleh penggunaan skrin LCD dan anda akan perasan persembahan warnanya juga nampak sedikit pudar. Namun begitu, usah terlalu risau kerana kualiti paparan masih di tahap yang boleh diterima – terutamanya ketika digunakan untuk menonton video. Bagaimanapun, kepuasan berganda akan lebih dirasai pada versi LTE ekoran terdapatnya sokongan kadar segar semula 90Hz.
Prestasi :
Cip pemprosesan dengan binaan lapan-teras daripada MediaTek dilihat menjadi pilihan utama Samsung untuk kedua-dua peranti pintar. Di mana, Samsung Galaxy A32 LTE dibekalkan dengan cip MediaTek Helio G80. Sementara itu, Samsung Galaxy A32 5G pula menggunakan cip MediaTek Dimensity 720. Penawaran memori juga cukup memadai untuk rata-rata pengguna – di mana kedua-duanya dibekalkan memori 8GB RAM bersama storan dalaman 128GB. Sebagai tambahan, Samsung turut hadir dengan storan tambahan menerusi kad microSD sehingga 1TB.
Daripada segi prestasi keseluruhan, kedua-duanya mampu untuk menggalas kebanyakan fungsi asas dengan baik pada peringkat awal – ini termasuklah penggunaan harian biasa seperti melayari internet, media sosial, menonton YouTube dan lain-lain. Namun lama-kelamaan terjadilah perubahan – di mana, prestasi sedikit merosot dengan terdapatnya beberapa isu lengah masa yang mula timbul. Ini sekaligus menjadikan prestasi peranti menjadi sedikit perlahan berbanding pengalaman penggunaan awal.
Untuk pengalaman permua, terdapat sehingga tiga jenis permainan yang diuji seperti PUBG Mobile, COD Mobile dan Asphalt 9. Melaluinya, pengalaman permua terasa baik-baik sahaja untuk kedua-dua peranti. Di mana, permainan Asphalt 9 berada di tahap memuaskan dengan sokongan pengesanan jari yang baik. Bergerak kepada COD Mobile dan PUBG Mobile pula terdapat beberapa tetapan berbeza yang boleh dimainkan.
Melaluinya, tetapan asal untuk permainan COD Mobile pada Samsung Galaxy A32 LTE adalah ‘Low’ dengan kadar bingkai ‘Medium’. Ia bagaimanapun, boleh sahaja diubah secara manual mencapai grafik tertinggi ‘Medium’ dan kadar bingkai ‘High’. Untuk PUBG Mobile pula, tetapan asal dilihat pada HD dengan kadar bingkai High. Kemudian, ianya boleh diubah secara manual sehingga ke grafik HD dan kadar bingkai pula mencecah Ultra. Namun begitu, kadar bingkai Ultra hanya boleh dimainkan pada tetapan grafik Smooth dan Balanced sahaja.
Untuk Samsung Galaxy A32 5G pula, tetapan asal untuk grafik pada permainan COD Mobile adalah ‘Medium’ dan kadar bingkai ‘Medium’. Tetapi, ianya boleh diubah secara manual sehingga ‘Medium’. Kadar bingkainya pula boleh menyokong sehingga ‘High’. Untuk makluman, ia boleh sahaja diakses dengan mana-mana tetapan grafik tersedia tanpa sebarang masalah.
Tetapan asal untuk grafik pada PUBG Mobile pula adalah ‘HD’ dengan kadar bingkai ‘High’. Ia juga merupakan tetapan grafik paling tinggi untuk permainan ini. Tetapi, tetapan untuk kadar bingkainya boleh mencecah sehingga ‘Ultra’. Namun begitu, kadar bingkai ‘Ultra’ hanya boleh diakses apabila anda memainkannya pada grafik Smooth dan Balanced sahaja. Setiap sesi permainan tidak mengalami isu pemanasan yang melampau, apa boleh kami katakan ianya di tahap yang masih boleh diterima sahaja.
Kamera :
Dari segi penggambaran, keupayaan kamera boleh dikatakan cukup baik dalam julat harganya. Kedua-dua peranti pintar ini menggunakan sistem kuad-kamera. Kelebihan adalah kepada Samsung Galaxy A32 LTE – kerana ia menampilkan kemampuan kamera utama sebesar 64-Megapixel, 8- Megapixel (ultra-lebar), 5-Megapixel (kedalaman) dan 5-Megapixel untuk tujuan makro. Berbeza dengan sensor utama pada Samsung Galaxy A32 5G yang sedikit lebih kecil iaitu 48-Megapixel. Seterusnya, ia diikuti dengan tiga lagi sensor lain yang terdiri dengan 8-Megapixel (ultra-lebar), 2-Megapixel (kedalaman) dan 5-Megapixel (makro).
Begitu juga dengan sokongan kamera hadapan. Kelebihan terletak pada Samsung Galaxy A32 LTE dengan kamera swafoto sebesar 20-Megapixel. Sementara itu, kamera hadapan pada Samsung Galaxy A32 5G pula sebesar 13-Megapixel sahaja.
Buka sahaja aplikasi kamera, anda akan temui beberapa fungsi standard terbina seperti AR Doodle, Pro Mode, Panorama, Food Mode, Night Mode, Macro Mode, Slow Motion, Hyperlapse dan Portrait Mode. Lebih menariknya, ia juga didatangkan fungsi yang dinamakan ‘Fun’ yang menyajikan penggunaan sama seperti pada aplikasi Snapchat. Melaluinya, anda boleh mengambil gambar menarik dengan pelbagai penuras comel yang terbina secara terus pada peranti pintar Samsung ini. Hasilnya juga adalah lebih berkualiti tinggi berbanding gambar yang diambil menerusi aplikasi Snapchat.
Dari segi prestasi, kamera utama mampu memberikan penghasilan imej yang baik meskipun masih terdapat sesetengah bahagian yang perlu diperbaiki. Seperti yang dilihat, kualiti gambar yang diambil pada pencahayaan cukup kelihatan baik sekali. Penghasilan warnanya nampak hidup dengan butiran pada gambar yang masih dipelihara.
Cumanya, hasil gambar menggunakan sensor sudut-lebar akan terdapat kesan herotan yang begitu ketara.
Kelemahan lain mula kelihatan pada gambar yang diambil dalam pencahayaan rendah. Di mana, butiran menjadi kurang memuaskan dengan kesan hingar yang ketara. Bukan itu sahaja, kami juga perasan berlakunya dedahan berlebihan dalam sesetengah keadaan apabila terdapat sumber cahaya terang. Akhir sekali, hasil makro pula berada di tahap baik-baik sahaja. Akan tetapi, jangan letak harapan yang terlalu tinggi padanya.
Bateri
Bateri yang dibekalkan pada kedua-dua peranti pintar ini adalah 5000mAh. Di samping itu, ia juga hanya menyokong pengecasan dengan output 15W sahaja. Melaluinya, ketahanan bateri boleh mencapai masa penggunaan sekitar 8 jam dan 51 minit dengan bateri berbaki 3%. Untuk pengecasan semula, ianya boleh dibuat menerusi port sambungan USB-C dan masa yang diambil untuk penuh adalah mencecah 3 jam lamanya.
Perbandingan Pesaing Peranti
Peranti Pesaing | ||
---|---|---|
Samsung Galaxy A32 LTE | Samsung Galaxy A32 5G | Vivo Y20s [G] |
6.4-inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-U Display, 411 PPI, 90Hz | 6.5-inci TFT LCD HD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 270 PPI | 6.51-inci IPS LCD HD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 394 PPI, 90 Hz |
Mediatek Helio G80 (12nm) 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 | MediaTek Dimensity 720 5G (7nm) 2 x 2.0 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Mediatek Helio G80 (12nm) 2 x 2.0 GHz Cortex-A75 6 x 1.8 GHz Cortex-A55 |
Mali-G52 MC2 | Adreno 618 | Mali-G52 MC2 |
8 Gigabyte | 8 Gigabyte | 6 Gigabyte |
128 Gigabyte | 128 Gigabyte | 128 Gigabyte |
64MP (f/1.8) – (Utama) 8MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar) 5MP (f/2.4) – (Kedalaman) 5MP (f/2.4) – (Makro) | 48MP (f/1.8) – (Utama) 8MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar) 5MP (f/2.4) – (kedalaman) 2MP (f/2.4) – (Makro) | 13MP ( f/1.7 ) – (Utama) 2MP ( f/2.2 ) – (Kedalaman) 2MP ( f/2.4 ) – (Makro) |
20MP (f/2.0) | 13MP (f/2.0) | 8MP |
Tidak Kalis Air | Tidak Kalis Air | Tidak Kalis Air |
5,000mAh + Pengecasan 15W | 5,000mAh + Pengecasan 15W | 5,000mAh + Pengecasan 18W |
RM1099 | RM1199 | RM799 |
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, kita boleh melihat kedua-dua model mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Setiap satu daripadanya dipadankan dengan spesifikasi dalaman yang padat dan baik. Sekiranya anda mencari peranti untuk kegunaan jangka masa panjang. Rasanya, Samsung Galaxy A32 5G adalah pilihan yang sesuai. Ini adalah kerana ia mempunyai sokongan rangkaian 5G terbina yang kelak akan disokong sekitar beberapa tahun mendatang. amun begitu, ini tidak bermakna Samsung Galaxy A32 LTE mempunyai kekurangan. Sebaliknya, melihat pada penawaran yang disertakan bersesuaian sahaja untuk kebanyakan pengguna hari ini.
Pro
- Binaan yang selesa di dalam tangan.
- Pemproses baik dalam kelasnya.
- Ketahanan bateri memuaskan.
- Rangkaian 5G terbina pada peranti dengan harga bawah RM1500.
Kontra
- Kemasan licin & mudah tergelincir daripada genggaman.
- Paparan sekadar HD+ untuk versi 5G.
- Pengecasan semula yang lambat dengan sokongan 15W sahaja.
- Speaker mono.