Di India, Slot Vaksinasi Mula Dijual Menggunakan Bot Bagi Mengaut Keuntungan

Diterbitkan pada Mei 28, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

India sedang lumpuh dilanda gelombang terkini Covid-19. Kadang jangkitan untuk setiap sejuta rakyatnya kini tertinggi di dunia dan hanya satu anak tangga di hadapan Malaysia. Dalam situasi semakin ramai terkorban sebelum sempat mendapatkan rawatan, masih wujud golongan yang menggunakan kesusahan orang ramai untuk mengaut keuntungan menurut laporan Wired.

Sistem CoWin digunakan di India dengan API telah dibuka untuk kegunaan pembangun aplikasi. Akibatnya pengguna yang mahir menghasilkan bot untuk menempah slot untuk diri sendiri, ahli keluarga dan untuk mengaut keuntungan. Terdapat pihak yang boleh membantu mendapatkan slot vaksinasi dengan membayar 3000 Rupee (~RM171) menerusi agen yang menjual perkhidmatan menerusi WhatsApp.

Vaksin

Di kawasan luar bandar di mana akses kepada Internet dan telefon pintar adalah terhad, terdapat pihak yang boleh membantu pendaftaran dengan mengenakan bayaran 400 Rupee (~RM23) sekepala. Ini adalah harga yang tinggi di India di mana lebih 300 juta menerima gaji kurang daripada RM4 sehari.

Dengan hampir 1.4 bilion penduduk, proses vaksinasi Covid-19 di India adalah amat mencabar dengan setakat ini hanya 42 juta (3.1%) sudah menerima dos lengkap. Apa yang berlaku di India sedang berlaku di Malaysia juga. Ada golongan yang tercicir kerana tidak mempunyai akses kepada Internet atau tidak tahu wujudnya program pendaftaran di Klinik Kesihatan. Perkara positif yang boleh ditulis pada waktu ini ialah di Malaysia masih tiada penjualan slot vaksinasi secara terbuka.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami