Cari @ Amanz

Beberapa tahun lalu, NVIDIA memperkenalkan konsep Big Format Gaming Display ataupun BFGD untuk syarikat-syarikat pembuat paparan komputer bagi mereka yang mahu menggabungkan paparan bersaiz besar dengan ciri-ciri gaming yang menambahbaik pengalaman gaming seseorang.

Predator CG437K S ialah paparan BFGD daripada Acer yang hadir dengan sejumlah ciri-ciri gaming, dan adalah pelengkap yang terbaik untuk mereka yang memiliki komputer kelas bangsawan, ataupun konsol permainan video terbaru keluaran Sony dan Microsoft.

Dengan saiz 42.5 inci, paparan ini hadir dengan resolusi 4K (3840×2160) dan kadar segar semula 120Hz yang juga menyokong teknologi penyelarian grafik NVIDIA GSYNC untuk pengalaman gaming yang lebih imersif. Selain daripada itu, paparan ini juga mempunyai nilai kecerahan 1000 nit dan menyokong teknologi HDR1000 untuk warna yang lebih menyerlah.

Monitor Predator CG437K S ini bukan sahaja dibina untuk komputer kelas bangsawan, tetapi konsol-konsol permainan terbaru PlayStation 5 dan Xbox Series X juga, dimana ia hadir dengan palam HDMI 2.1 yang membolehkan konsol-konsol ini dimainkan pada resolusi dan kadar segar semula maksima 4K 120Hz.

Selain daripada itu, ia juga hadir dengan sejumlah palam I/O tambahan seperti palam USB Type-B, USB 2.0 Type-A, USB 3.0 Type-A dan USB 3.0 Type-C.Lebih menarik lagi, jika anda menyambungkan aksesori papan kekunci dan tetikus anda ke palam USB paparan ini, ia juga hadir dengan suis KVM yang membolehkan anda menggunakan aksesori anda pada lebih daripada satu komputer.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai jaluran lampu RGB terbina di bahagian belakang paparan yang boleh diselarikan menggunakan perisian, dan memberikan suasana tontonan dan gaming yang lebih menyeronokkan.

Paparan skrin Predator CG437K S ini hadir dengan harga $1800 (~RM7400) dan akan diperkenalkan di sejumlah pasaran antarabangsa tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd