Pada sistem operasi Windows, pengguna sering melakukan pemasangan perisian melalui pelbagai sumber – sama ada dari kedai aplikasi, sesuatu web, atau sebagainya. Perkara ini, membawa kepada proses kemaskini perisian yang agak sukar dan melecehkan.
Bagi memudahkan proses berkenaan, salah satu kaedah yang ditawarkan oleh Microsoft adalah melalui Windows Package Manager.
Sekiranya anda menggunakan Windows 10, anda boleh memasang perisian versi terbaru Windows Package Manager melalui laman GitHub rasmi.
- Muat Turun
- Muat-Turun Windows Package Manager (appxbundle)
Sebaik sahaja selesai memasangnya, anda boleh menjalankan aplikasi Windows PowerShell pada komputer anda.
Seterusnya, jalankan arahan “winget upgrade”. Ia seterusnya akan memaparkan sejumlah perisian yang boleh dikemaskini terus melaluinya dengan mudah.

Anda kemudian boleh memilih untuk mengemaskininya satu demi satu, atau semua serentak.
Sekiranya ingin melakukan kemaskini secara satu demi satu, gunakan arahan “winget upgrade <namaperisian>” (contoh : “winget upgrade Grammarly”.
Tetapi, sekiranya anda ingin lakukan semua kemaskini serentak, anda boleh jalankan arahan “winget upgrade —all”.

Selepas sesuatu perisian dimuat-turun, ia akan memulakan tetingkap kemaskini untuk sesuatu perisian – dan seterusnya disambung dengan perisian-perisian lain.
Kaedah ini mungkin membantu anda dalam memudahkan memastikan semua perisian yang terpasang pada komputer anda merupakan versi terkini.
Atau, sekiranya anda mempunyai kaedah lain, jangan lupa berkongsi bagaimana anda pastikan perisian yang anda gunakan adalah versi terkini sentiasa.