Bugatti Melancarkan Tiga Jam Tangan Pintar Mewah Dengan Tubuh Seramik dan Titanium

Diterbitkan pada Mei 28, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bugatti juga kini memasuki arena jam tangan pintar dengan pelancaran Bugatti Ceramique Edition One Pur Sport, Bugatti Ceramique Edition One Le Noire dan Bugatti Ceramique Edition One Divo. Ketiga-tiga jam tangan pintar ini menggunakan sistem operasi VIITA dan mengambil kepakaran rekaan automotif Bugatti.

Tubuh jam diperbuat daripada bahan seramik sementara bahagian tali jam pula daripada logam titanium. Skrin LED sesentuh dengan resolusi 360×360 pixel pula mempunyai panel nilam tahan calar. Dengan sekali caj, bateri 445mAh boleh bertahan sehingga 14 hari. Dengan tubuh tahan lasak, ia turut kalis ais sehingga kedalaman 100 meter. Bagi meningkatkan lagi kepercayaan pengguna, setiap jam diberikan jaminan selama lima tahun.

Ia hadir dengan pelbagai ciri standard seperti GPS, penjejak tapak, pengimbas nadi, tidur dan VO2Max. Terdapat mod mengesan 90 jenis senaman dan aktiviti sukan secara automatik bersama dengan saranan aktiviti sukan yang boleh dilakukan. Menurut Bugatti, sistem pengesan GPS pada jam tangan mereka adalah sebaik yang digunakan pada kereta lumba Chiron.

Ketiga-tiga jam kini ditawarkan menerusi laman Kickstarter dengan harga istimewa €899 (~RM4528) sebelum ditawarkan secara terbuka pada harga €1239 (~RM6241) seutas.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami