Cari @ Amanz

Monitor di pejabat semuanya dari jenis LCD dan QLED jika anda bernasib baik. Dalam kesemua situasi, di akhir hari mata akan menjadi sedikit sakit selepas sepanjang hari menggunakan skrin yang terang. Untuk menyelesaikan isu mata yang sakit ini, terdapat pandangan bahawa skrin e-ink ialah penyelesaian terbaik khususnya bagi mereka yang banyak bekerja menggunakan teks.

Dasung, sebuah syarikat dari China telah melancarkan monitor Paperlike 253 yang merupakan yang pertama dari jenis e-ink bersaiz 25.3 inci. Monitor monokrom ini menyokong resolusi 3K dengan saiz pixel yang kecil bagi mengurangkan tekanan pada mata ketika membaca teks yang dipaparkan. Terdapat tiga mod paparan iaitu teks, video dan grafik yang diubah mengikut keselesaan pengguna.

Sokongan IO juga menyeluruh dengan sokongan sambungan HDMI, DP dan USB-C. Terdapat juga tiga port USB-A untuk menyambungkan aksesori. Telefon pintar juga boleh disambungkan untuk mod desktop seperti yang disokong peranti Samsung dan Huawei.

Tangkai pemegang skrin boleh berputar 90 darjah untuk orientasi menegak serta kebebasan untuk mengubah ketinggian dan sudut mendongak. Pada waktu ini Dasung Paperlike 253 sedang mengumpul dana menerusi laman Indiegogo dan boleh ditempah pada harga bermula $2000 (~RM8273) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd