Pasaran tablet pada suku pertama 2021 masih lagi dipegang oleh Apple. Siri iPad Air dan iPad Pro berjaya memikat pengguna kerana cip yang berkuasa dan sokongan Apple Pencil yang dianggap terbaik di dalam kelas. Di belakang Apple ialah Samsung dan tahun ini mereka mungkin lebih serius untuk memberikan persaingan dengan siri Galaxy Tab S8.
Spesifikasi tiga model yang akan dilancarkan telah tertiris. Menakjubkan sekali Samsung akan hadir dengan satu model dengan skrin sebesar 14.6″. Peranti dengan kod nama Basquait 3 mungkin akan dipasarkan sebagai Tab S8 Ultra dilengkapi skrin 14.6″ OLED 120Hz, memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 512GB, kamera utama 13+5 MP, kamera hadapan 8+5, bateri 12,000 mAh. Kamera hadapan hadir dengan lensa ultra sudut lebar untuk sesi telesidang dan juga aktiviti bersenam.
Basquait 2 yang mungkin menggunakan nama Tab S8+ pula dilengkapi skrin 12.4″ OLED 120Hz, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB, kamera utama 13+5, kamera hadapan 8MP dan bateri 10090 mAh. Akhir sekali Basquait 1 yang mungkin menggunakan nama Tab S8 dilengkapi skrin 11″ IP LCD 120Hz, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB, kamera utama 13+5 MP, kamera hadapan 8MP dan bateri 8000 mAh.
Ketiga-tiganya menyokong S Pen, kuad speaker dengan Dolby Atmos, sokongan 5G, dan pengecasan pantas 45W. Permintaan ke atas tablet masih lagi tinggi tahun ini kerana keperluan bekerja dan pembelajaran dari rumah. Mungkin ini memberikan Samsung keberanian menawarkan tablet Android dengan saiz yang amat besar.