Panasonic Membangunkan Teknik Pertanian Sayuran Di Kawasan Monsun Dan Taufan

Diterbitkan pada Mei 31, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Perubahan iklim akan mengakibatkan cuaca ekstrem berlaku dalam masa satu generasi sahaja. Selain meningkatkan paras air laut dunia, menghapuskan habitat dan meningkatkan bencana alam, ia turut akan mengancam sumber makanan manusia.

Jepun telah menyedari ancaman perubahan iklim ini ke atas sumber makanan negara mereka. Sejak 2016 Asian Monsoon Plant Factory System (PFS) Consortium telah ditubuhkan mereka untuk mengkaji teknik pertanian sayuran ketika musim monsun. Pada waktu ini pertanian tidak dilakukan di Jepun ketika musim monsun dan taufan kerana ia merosakkan tanaman menerusi kombinasi banjir, kekurangan cahaya matahari dan angin yang kuat.

Panasonic ialah antara ahli konsortium ini dan telah berjaya menghasilkan Asian Monsoon PFS. Ia adalah sebuah rumah hijau pintar yang mempunyai sistem kawalan kelembapan,suhu, udara, nitrat, karbon dioksida, cahaya dan banyak lagi bagi membolehkan sayuran seperti tomato ditanam. Asian Monsoon PFS dibina di Pulau Ishigaki yang terletak di Okinawa, selatan Jepun. Kerana kelembapan udara yang tinggi serta monsun, proses pertanian di pulau ini adalah sukar.

Kerana sistem rumah hijau ini cukup pintar, ia dipantau secara jarah jauh oleh kakitangan Panasonic di ibu pejabat mereka di Osaka yang terletak 2000 kilometer dari Okinawa. Menerusi rumah hijau pintar ini, mereka berjaya menanam tomato 10 bulan dalam setahun dengan kos lebih rendah berbanding sistem yang dibangunkan oleh Belanda. Selain kos lebih rendah, ia turut tidak memerlukan rumah hijau yang tinggi hanya 3.8 meter berbanding 6.4 meter untuk sistem Belanda. Rumah hijau yang lebih rendah diperlukan bagi membolehkan ia bertahan dilanda taufan pada kelajuan mencecah 50 meter sesaat.

Keselamatan sumber makanan akan menjadi semakin serius apabila perubahan iklim meningkat dalam masa terdekat. Jepun telah bersedia untuk menghasilkan bekalan kendiri. Iklim ekstrem kelak akan dapat ditawan untuk mengekalkan penghasilan bekalan makanan walaupun negara dilanggar taufan.

Sumber Panasonic

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami