Samsung sebelum ini sedia hadir dengan penawaran Galaxy A02s yang merupakan sebuah peranti kelas permulaan. Di Malaysia, ianya dijual dengan tanda harga di bawah RM600 untuk sebuah. Dalam perkembangan terkini, satu lagi peranti daripada Samsung di bawah siri yang sama telah temui menerusi beberapa imej pengolokan tersebar.
Peranti berkenaan adalah Samsung Galaxy A03s dan informasi ini diperoleh hasil perkongsian daripada @OnLeaks di laman Twitter miliknya, baru-baru ini. Jelas kelihatan, Samsung Galaxy A03s mempunyai rekaan fizikal yang mirip seperti generasi sebelumnya. Tetapi, masih terdapat beberapa perubahan kecil untuk meletakkan peranti ini dalam kelas yang tersendiri. Misalnya, Samsung Galaxy A03 menggunakan sokongan pengimbas cap jari di sisi dan port USB Type-C.

Lain-lain perkara masih sama, di mana ia menampilkan sistem tri-kamera dengan tetapan sensor 13-Megapixel + 2-Megapixel + 2-Megapixel. Kemudian, kamera swafoto sebesar 5-Megapixel pula diletakkan pada takuk yang kecil pada panel hadapan. Saiz skrin pula adalah sebesar 6.5-inci dengan binaan bezel yang tebal pada bahagian dagu. Tidak ketinggalan, Samsung turut dipercayai masih mengekalkan bicu audio 3.5mm pada peranti ini.

Buat masa ini, masih tidak diketahui bilakah Samsung Galaxy A03s bakal diperkenalkan secara rasmi. Tambahan pula, pihak Samsung sendiri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung peranti pintar ini.
Sumber : 91Mobiles