Intel 5G Solution 5000 Diperkenalkan – Modem 5G Yang Dibina Dengan Kerjasama Bersama MediaTek

Diterbitkan pada Mei 31, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Beberapa tahun lalu, Intel telah menjual perniagaan pembangunan teknologi modem mereka kepada Apple. Ia dikatakan tidak begitu menguntungkan, dan telah menjualnya untuk mengelakkan daripada kerugian yang lebih besar.

Menariknya, tidak lama selepas itu, Intel telah menandatangani sebuah perjanjian bersama MediaTek, sebuah syarikat pembangun cip pemprosesan yang memfokuskan kepada peranti pintar untuk membina sebuah modem khusus untuk Intel.

Hari ini, di acara COMPUTEX Taipei. Intel telah memperkenalkan modem tersebut yang dinamakan Intel 5G Solution 5000 yang akan membolehkan komputer-komputer riba dan desktop untuk menyambungkan komputer mereka ke rangkaian 5G dengan mudah.

Modem Intel 5G Solution 5000 ini dibina berasaskan modem MediaTek T700 yang hadir dengan sejumlah penambahbaikan daripada Intel, dan hadir dengan rekaan M.2 yang boleh dipasangkan dalam komputer desktop ataupun komputer riba yang menyokongnya.

Menurut Intel lagi, ia menyokong rangkaian 5G Sub-Six (100-400Mbps), 4G dan 3G yang pada masa ini, boleh menyambung ke rangkaian-rangkaian di kawasan Amerika Utara, EMEA, Asia Pasifik, Jepun dan Australia.

Mereka juga mengatakan bahawa komputer-komputer yang dikuasakan CPU Intel Tiger Lake dan Alder Lake akan datang akan hadir dengan modem ini, tetapi nampaknya penghala Predator Connect X5 dan Connect D5 yang diperkenalkan Acer beberapa hari lalu juga akan dikuasakan menggunakan modul 5G ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami