Ulasan Vivo V21 – 1 Peranti, 2 OIS, 3 Kamera, dan 4 Sebab Ia Berbaloi

Diterbitkan pada Jun 3, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seperti Oppo, Vivo juga memfokuskan kepada gaya hidup sesuai dengan makna Vivo itu sendiri adalah “kehidupan” dalam bahasa Latin. Vivo lebih menekankan kepada rekaan, kemampuan swafoto dan cuba menawarkan pelbagai pilihan peranti yang mempunyai gaya tersendiri. Antara yang menarik dalam barisan produk Vivo adalah siri V. Ia adalah peranti kelas pertengahan yang menawarkan kemampuan fotografi tahap profesional. Antara yang terkini di pasaran Malaysia ialah Vivo V21.

Peranti ini kami pilih sebagai telefon pilihan kamera untuk Hari Raya kerana kemampuan kamera yang ditawarkan. Selepas menggunakannya untuk beberapa minggu, kami dapat rasakan yang Vivo bijak dalam penawaran produk menarik yang mampu milik tetapi masih kelihatan premium. Dalam artikel ulasan ini di mana kami rumuskan sama ada Vivo V21 berbaloi atau tidak untuk dimiliki.


Spesifikasi Dan Rekaan

Skrin6.44″, AMOLED, 2404 x 1080 FHD+
90Hz, HDR10+
PemprosesMediaTek Dimensity 800U 5G (7nm)
Cip2 x 2.4 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC3
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128 GB UFS 2.2 (mikro SD sehingga 512GB)
Kamera Utama64+8+2 Megapixel
f/1.79 utama + f/2.2 ultra-lebar + f/2.4 makro, OIS
Kamera Swafoto44 Megapixel f/2.0, OIS
Bateri4000mAh
Pengecasan berwayar 33W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCTiada
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin / Wajah
Harga JualanRM 1599

Peranti ini menggunakan skrin 6.44-inci AMOLED dengan resolusi FHD+. Ia juga menyokong kadar segar semula 90Hz dan paparan HDR10+. Selain itu, Vivo juga menggunakan cip Dimensity 800U 5G dengan gabungan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB UFS 2.2. Kamera adalah 64+8+2 Megapixel dengan kamera swafoto 44 Megapixel. Unik sekali kedua-dua kamera belakang dan hadapan dilengkapi sistem penstabilan OIS dengan dua flash LED juga diletakkan pada bahagian hadapan.

Bateri pula adalah 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W secara berwayar. Tiaada ciri tambahan pengecasan nirwayar ataupu berbalik pada V21. Pengimbas cap jari adalah jenis optikal yang terletak di bawah skrin. Vivo V21 menjalankan sistem operasi Funtouch OS 11 berasaskan Android 11.

Rekaan peranti ini lebih kepada identiti siri X Vivo yang bermula sejak X50. Tidak melampau untuk mengatakan V21 amatlah mirip kepada Vivo X60 yang ada kami ulas sebelum ini. Rekaan yang nipis, binaan yang rasa sedap di tangan, warna yang memikat hati serta sedikit moden secara keseluruhan antara kelebihan peranti ini. Tetapi sayang sekali pada skrin, Vivo masih menggunakan takuk kecil yang sudah mula ditinggalkan oleh banyak pengeluar.

Rekaan seperti ini hanya cantik di mata, tetapi tidak begitu ergonomik. Bermain permua jangka masa panjang tidak begitu selesa. Bukan itu sahaja, peranti juga terasa licin jika tidak digunakan dengan kerangka maka ia tidak sesuai untuk pengguna seperti saya yang telapak tangannya cepat berpeluh.

Di atas peranti tiada yang menarik, begitu juga di sisi kanan. Tetapi di sisi kiri ada butang kuasa dan butang aras suara. Manakala di bawah adalah lubang untuk pengecasan USB-C dan kekisi pembesar suara. Panel belakang hanya ada logo Vivo di bawah yang tidak begitu besar serta pada atas hujung modul kamera segi empat dengan rekaan yang sangat dikenali.

Penggunaan Dan Perisian

Vivo V21 menggunakan cip Dimensity 800U, yang mana adalah pesaing kepada cip Snapdragon 720G. Cip Snapdragon tersebut, digunakan pula pada Vivo V21 SE yang dijual pada harga sedikit lebih murah. Apa yang mengejutkan di sini adalah, cip Dimensity 800U mampu memberi pengalaman penggunaan lebih baik daripada Snapdragon 720G kerana terasa sedikit lebih lancar dan pantas.

Ini mungkin kerana Funtouch OS 11 yang cukup ringan dan mesra pengguna. Apa pun, dari segi tatalan dan sentuhan langsung tidak bermasalah. Membuka banyak aplikasi juga tiada masalah dan peranti tidak menunjukkan sebarang isu pemanasan. Walau bagaimanapun, selepas penggunaan berterusan lebih satu jam – peranti akan mula terasa sedikit perlahan. Ia tidak begitu serius sehingga menyebabkan sistem tergendala, tetapi lengah masa mula boleh dirasai dan animasi juga mula sangkut-sangkut.

Dengan kata lain, pengalaman lancar kerana 90Hz ihilang dan terus menjadi seakan bawah 60Hz. Isu ini hanya berlaku selepas bermain permua, menggunakan kamera untuk jangka masa lama atau banyak masa dihabiskan pada aplikasi media sosial. Bermain permua pada peranti ini bukanlah satu pengalaman yang paling hebat. Ia mampu mengendalikan Asphalt 9 dengan baik pada tetapan medium dan PUBG Mobile pada tetapan lalai – iaitu sederhana sahaja.

Prestasi permua masih terasa seperti bermain pada peranti Snapdragon 720G. Grafik baik sahaja dan yang paling penting seperti saya katakan tadi tiada isu lengah masa. Prestasi yang cukup baik ini dibantu oleh sokongan RAM tambahan 3GB (yang diambil dari storan), menjadikan peranti ini seakan dilengkapi 11GB RAM. Ia adalah teknologi seakan memori maya yang terbina dalam Windows 10 yang mula dilihat pada Vivo X60.

Skrin peranti cukup cerah dan cantik. Boleh saya katakan seakan Redmi Note 10 Pro tetapi dengan warna yang lebih cantik dan kecerahan yang lebih tinggi dengan sokongan kandungan HDR10+. Tiada masalah untuk menonton video pada Netflix, kerana kualiti panel AMOLED yang memadai untuk peranti dalam kelas ini. Apa yang saya gemar dengan peranti ini adalah rekaan skrin yang rata. Ia memudahkan saya untuk mengurus pelbagai perkara tanpa ada masalah skrin tersentuh secara tidak sengaja yang sinonim dengan skrin sisi melengkung.

Sayang sekali, takuk kecil pada skrin sedikit menjengkelkan. Sudah 2021, banyak peranti kelas pertengahan menggunakan skrin berlubang kecil. Rekaan takuk kecil ini sudah boleh dikatakan ketinggalan zaman dan tidak mempunyai nilai estetik bersesuaian dengan trend semasa. Rekaan “titisan air” seharusnya dikorbankan kerana telah “menumpahkan titisan darah terakhirnya” sejak setahun lalu.

Seperti saya katakan tadi, Vivo semakin bijak dalam pembangunan perisian. Saya mula sedari perkara ini sejak Vivo X50 lagi. Tetapi mula menggunakan sepenuhnya pada Vivo X60 Pro beberapa bulan lepas. Sebagai pengguna yang menggemari Android asli, Funtouch OS cuba mengikut jejak langkah Oppo melalui Color OS. Banyak elemen tema berat dibuang dan digantikan dengan tema yang lebih ringan. Kemudian banyak elemen Android asli dimasukkan untuk lebih sesuai digunakan oleh pengguna global.

Walaupun begitu, Vivo masih ingin memfokuskan kepada hasil usaha mereka iaitu aplikasi-aplikasi tersendiri yang sedia terbina.

Jika MIUI 12 dan Color OS 11, aplikasi Google digunakan untuk panggilan telefon dan pemesejan, Vivo masih menggunakan aplikasi mereka sendiri. Pengguna masih diberikan pilihan untuk memuat turun aplikasi dari Play Store dan menggantikan aplikasi kendiri Vivo dengan aplikasi pilihan mereka sendiri.

Ciri tambahan menarik pada Funtouch OS yang sedia seperti Jovi, EasyShare, kawalan gestur, dan banyak lagi masih dikekalkan. Pada bahagian tetapan peranti, ia masih menjengkelkan kerana tidak tersusun. Antara semua pelancar pihak ketiga Android, Funtouch OS adalah antara yang paling berserabut pada hemat saya. Jenama lain lebih tersusun dan boleh dikatakan memberikan pengalaman yang lebih kurang sama.

Telefoni Dan GPS

Peranti ini tiada masalah serius dalam telefoni, tidak kira penggunaan panggilan telefon atau data mudah alih. Berbeza dengan banyak peranti Poco dan Redmi dengan cip lebih kurang sama tetapi mempunyai masalah WiFi dan data. Kualiti audio panggilan suara adalah jelas, tetapi saya tidak begitu gemar untuk berada dalam sesi panggilan yang panjang. Ini kerana rekaan terlalu nipis danu rata sebegini tidak begitu selesa.

Pada prestasi GPS pula, masa diambil untuk mengunci lokasi adalah sedikit perlahan dari kebiasaan. Ia juga berbeza-beza mengikut aplikasi. Pada Google Maps ia beroperasi dengan baik. Pada aplikasi Waze masa yang diambil menjadi lebih panjang. Kemudian apabila ingin berkongsi lokasi menerusi WhatsApp misalnya, masa yang lebih lama diambil berbanding dua aplikasi GPS tadi. Ini adalah mengecewakan kerana V21 menyokong kesemua sistem geolokasi utama iaitu GPS, BeiDou, GLONASS dan Galileo. Peranti-peranti kelas pertengahan lain yang pernah kami ulas mampu menunjukkan lokasi tepat dalam masa yang lebih singkat dan konsisten.

Penanda Aras

Seperti saya katakan tadi, peranti ini tiada masalah dalam bermain permua atau mengendalikan tugasan berat. Dengan cip MediaTek Dimensity 800U 5G, ia adalah setanding Snapdragon 720G. Jadi skor tidak akan terkejut jika boleh capai lebih 300K pada AnTuTu. Dengan bantuan RAM tambahan daripada storan dalaman, Vivo V21 tiada masalah untuk menerima skor penanda aras 363859 pada AnTuTu.

Skor ini diperoleh tanpa sebarang aksesori penyejuk. Saya yakin ia boleh mencapai sehingga menghampiri 400K,

Aplikasi Geekbench 5 juga memperlihatkan skor yang cukup tinggi untuk peranti dalam kelas ini. Dengan skor 534/1592 untuk satu teras dan multi-teras, ia membuktikan peranti ini tiada masalah seperti yang Vivo promosikan atau saya sendiri alami.

Kamera

Aplikasi kamera Vivo adalah antara aplikasi kamera yang kurang mesra pengguna pernah saya gunakan. Pada kebanyakan aplikasi kamera lain, untuk menukar antara mod biasa ke sudut ultra lebar adalah dengan menekan ikon dalam bulatan yang ada teks 1x, kemudian tekan 2x dan seterusnya (jika ada). Tetapi Vivo meletakkan mod ini dalam butang lain, di mana anda boleh lihat pada gambar di bawah – ada ikon dengan Lens. Di dalamnya ada pilihan makro dan sudut ultra lebar. Kerana rekaan antaramukannya yang tidak konvensional, proses mengingati mod yang disokong kamera menjadi sedikit sukar.

Kamera adalah kekuatan Vivo V21, lebih-lebih lagi pada perisian dan kecerdasan buatan. Mereka bijak dalam memilih penuras apa yang patut ditawarkan, kesan bokeh adalah terbaik dan nampak realistik. Mod kecantikan untuk lelaki juga disertakan! Satu ciri yang boleh kami katakan jarang sekali diberikan. Terima kasih Vivo kerana menyedari kaum lelaki juga mahu kelihatan kacak dengan kulit nircela dalam gambar swafoto.

Pasca-proses aplikasi kamera Vivo kali ini terlampau lembut dan melalui proses terlampau melebih daripada yang sepatutnya menajamkan gambar. Penghasilan semula warna juga tidak konsisten. Kadang kala baik dan kadang kala tidak. Paling menjengkelkan adalah ada masalah fokus pada kamera belakang. Vivo V21 adalah antara peranti yang akan saya sarankan dimatikan mod AI untuk mendapatkan kualiti gambar yang lebih baik.

Pada swafoto, sensor 44MP jelas memainkan peranan kerana boleh mengambil gambar dengan butiran lebih tajam. Tetapi apabila gunakan penuras atau mod potret, kamera swafoto tidak mempamerkan hasil yang terbaik. Ia sekadar cukup boleh makan sahaja. Apa yang ia bantu adalah panggilan video beramai-ramai.

Imej sudut ultra lebar tiada masalah pun pada peranti ini. Ia mampu mengambil gambar dengan sudut pandangan yang jelas. Tetapi warnanya tidak begitu gah dan kelihatan seakan suntingan sahaja. Tetapi jika ada cahaya yang cukup, hasil gambar adalah memadai.

Apa yang saya kecewa dengan Vivo V21 adalah, walaupun dilengkapi OIS pada kamera depan dan belakang, ia seakan tidak membantu. Imej masih kelihatan lembut sama seperti kamera peranti yang hanya menggunakan EIS. Harapnya dalam kemaskini perisian akan datang ia akan diperbaiki. Sepanjang penggunaan banyak terasa seakan Vivo bergantung kepada perisian sahaja. Secara tidak langsung, imej mod kurang cahaya tidak begitu cantik.

Audio

Paling mengecewakan pada peranti yang sudah nampak kelihatan mewah ini adalah, ia hanya menggunakan pembesar suara mono. Sudahlah mono, tiada pula bicu audio 3.5mm. Dengan pembesar suara mono, audio tidak seimbang dan akan rasa sedikit aneh ketika menonton video, mendengar muzik atau bermain permua.

Tetapi nasib baik, pembesar suara adalah cukup kuat dan lantang cuma dengan profil audio yang rata. Jika anda mendengar lagu pop, lagu-lagu yang ringan atau video yang banyak memfokuskan vokal – audio peranti ini memadai. Tetapi alangkah baiknya jika ada sepasang pembesar suara stereo. Mungkin ini akan hanya akan ditawarkan pada Vivo V22 tahun hadapan.

Bateri

Bateri 4000 mAh tidak mengalami masalah membekalkan kuasa sepanjang hari. Pada penggunaan paling ringan ia dengan mudah bertahan selama dua hari dengan wujud lagi baki sekitar 5%. Dalam penggunaan berat, SOT sahaja selama 5 jam dapat dinikmati. Penggunaan berat di sini ialah banyak menggunakan aplikasi media sosial, menstrim video, menggunakan kamera dan menjalankan permua. Bateri sederhana besar ini mengambil masa sekitar 60 minit untuk dicas sepenuhnya menerusi pengecas 33W yang diberikan dengan setiap pembelian.


Pesaing

Vivo V21Poco F3Samsung Galaxy A52
6.44″, AMOLED, 2404 x 1080 FHD+
90Hz, HDR10+, 409 ppi
6.67″, AMOLED, 1080 x 2400 FHD+
120Hz, HDR10+, 395 ppi
6.5″ SAMOLED, 1080 x 2400, FHD+,
90Hz, 407 ppi
Dimensity 800U 5G (7nm)
2 x 2.4 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 870 (7nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 720G (8nm)
2 x 2.3 GHz Kryo 465 Gold
6 x 1.8 GHzJryo 465 Silver
Mali-G57 MC3Adreno 650Adreno 618
8 GB LPDD4X6/8 GB LPDDR58 GB LPDDR4X
128GB UFS 2.2
MikroSD
128/256 GB UFS 3.1256 GB UFS 2.1
MikroSD
Kamera Utama
64+8+2 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4), OIS
Kamera Utama
48+8+5 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Utama
64+12+ 8+5 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/24), OIS
Kamera Hadapan
44-Megapixel f/2.0, OIS
Kamera Hadapan
20-Megapixel f/2.5
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.2
Tidak kalis airTidak kalis airIP67
Tiada bicu audioTiada bicu audioAda bicu audio
Audio MonoAudio StereoAudio Stereo
4000mAh (Berwayar 33W)4520mAh (Berwayar 33W)4500mAh (Berwayar 25W)
Harga RM1599Harga RM 1399Harga RM1499

Kesimpulan

Vivo V21 adalah antara peranti terbaik dalam kelasnya jika terbaik dalam kelas adakah bermakna paling berbaloi. Vivo V21 lebih fokus kepada kemampuan kamera dengan kecerdasan buatan. Jadi, peranti ini mahal kerana kamera dan bukan atas sebab lain. Sebab itu jika anda lihat pesaing lain dengan spesifikasi sama, harga yang ditawarkan adalah jauh lebih murah.

Skrin AMOLED yang berkualiti, rekaan premium, prestasi lancar serta pengalaman penggunaan V21 adalah memuaskan. Jika anda inginkan sebuah peranti dengan kamera yang baik dan berkemampuan, Vivo V21 sesuai untuk anda cuma dengan beberapa syarat. Syaratnya adalah anda tidak berapa peduli tentang audio mono, penentukuran warna pada kamera dan skrin tidak sama, bateri tidak begitu tahan lama dan harga yang sedikit tinggi. A

Apa yang saya boleh rumuskan mengenai V21 ialah Vivo ingin menawarkan Vivo X60 kepada harga yang lebih mampu milik. Dengan harga RM1599 ia tidak jatuh ke dalam kategori peranti mahal tetapi di pasaran sekarang Oppo F3 dan Samsung Galaxy A52 ditawarkan pada harga lebih rendah tetapi dengan ciri yang lebih baik seperti cip lebih berkuasa, pembesar suara stereo dan kemampuan kalis air.


Pro

  • Rekaan yang nipis, kelihatan premium dengan warna yang menawan
  • Skrin AMOLED yang cukup baik dalam kelasnya
  • Prestasi lancar kerana 3GB RAM tambahan melalui perisian
  • Kamera yang agak baik

Kontra

  • Audio tidak seimbang kerana pembesar suara mono
  • Bateri tidak begitu tahan lama berbanding pesaing
  • Harga sedikit mahal untuk kategori peranti ini

Teks asal Fahim Zahir dengan suntingan oleh Effi Saharudin

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami