Jika semalam Intel melancarkan dua model cip pemprosesan baru untuk siri Tiger Lake-U mereka, hari ini tiba giliran AMD pula untuk melancarkan cip pemprosesan baru dibawah siri AMD Ryzen 5000G, iaitu cip pemprosesan Zen 3 sama yang dilancarkan pada tahun lepas, tetapi kali ini dengan cip pemprosesan terbina didalamnya, yang menjadikannya diantara APU yang paling berkuasa dalam siri ini.
Siri ini pada masa ini terdiri daripada dua model APU, termasuklah AMD Ryzen 7 5700G dan juga AMD Ryzen 5 5600G. Dari segi spesifikasi dalaman, AMD Ryzen 7 5700G hadir dengan lapan teras dan 16 bebenang kuasa, kelajuan sehingga 4.6GHz dan hadir dengan lapan unit perkomputeran iGPU terbina.
AMD Ryzen 5 5600G pula hadir dengan enam teras dan 12 bebenang kuasa dengan kelajuan sehingga 4.4GHz dan mempunyai sebanyak tujuh unit perkomputeran iGPU terbina didalamnya.
AMD mengatakan lagi bahawa dengan iGPU terbina ini, kedua-dua model APU ini mampu bertanding dengan Intel Core i7-11400 dari segi penciptaan kandungan dan juga gaming untuk sejumlah tajuk-tajuk yang ditunjuk sewaktu acara pengumuman mereka di COMPUTEX Taipei hari ini. Kedua-dua CPU ini juga hadir dengan TDP sebanyak 65W sahaja.
Mereka juga mengumumkan tanda harga dan tarikh jualan untuk kedua-dua APU baru ini, dimana ia akan mula dijual di pasaran antarabangsa pada 5 Ogos 2021 kelak pada harga $359 untuk AMD Ryzen 7 5700G, dan $259 untuk AMD Ryzen 5 5600G.