Carian
NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti Berharga Bermula RM2880, NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti Bermula RM5800 Di Malaysia
June 1, 2021 Nazrin

Sebentar tadi kami telah melaporkan bahawa NVIDIA telah melancarkan dua buah model kad grafik baru dalam siri Ampere mereka, termasuklah NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti dan juga NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti, dimana tanda harga dalam USD untuk kedua-dua kad grafik ini diperlihatkan pada harga $1199 dan $599.

Kedua-dua kad grafik ini akan mula dijual pada 3 Jun kelak untuk model RTX 3080 Ti dan 10 Jun untuk model RTX 3070 Ti, tetapi kini, melalui laman web NVIDIA sendiri, kita dapat melihat tanda harga asal untuk kedua-dua kad grafik ini dalam matawang Ringgit Malaysia sendiri.

Menurut NVIDIA sendiri, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti akan dijual pada harga permulaan RM5800, manakala untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti pula, ia akan dijual pada harga permulaan RM2880.

Kami jangkakan bahawa tanda harga ini hanyalah tepat dari segi pertukaran matawang, khususnya kerana NVIDIA sendiri secara teknikalnya tidak mempunyai kehadiran rasmi di Malaysia, dan khususnya kerana kad-kad grafik yang dijual di Malaysia hanyalah melalui pembuat-pembuat kad grafik seperti ASUS, GIGABYTE, MSI dan sebagainya.

Pasaran komponen komputer masih lagi menghadapi masalah bekalan yang cukup serius dimana kedai-kedai yang membawa masuk kad-kad grafik ini hanya akan menjualnya samada dengan tanda harga yang terlampau tinggi, ataupun melalui berkas dimana anda perlu membina sebuah sistem komputer penuh untuk mendapatkan kad-kad grafik ini pada harga pasaran.

Seperti yang dikatakan tadi, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti akan mula dijual pada 3 Jun ini, manakala GeForce RTX 3070 Ti akan mula dijual seminggu kemudian pada 10 Jun kelak.

Komen