Poco Malaysia hari ini telah pun memperkenalkan secara rasminya telefon pintar terbaharu mereka untuk pasaran Malaysia, iaitu Poco M3 Pro 5G.
Untuk makluman, Poco M3 Pro 5G hadir dengan penawaran rekaan lebih kurang seperti Redmi Note 10 5G. Ia hadir dengan skrin 6.5-inci FHD+ yang menawarkan kadar segar semula sehingga 90Hz.
Poco mengatakan mereka menyertakan ciri Dynamic Switch yang menyesuaikan kadar segar semula mengikut penggunaan – sekaligus menjimatkan lagi tenaga bateri.
Menjana telefon pintar ini adalah MediaTek Dimensity 700 yang menawarkan kelajuan sehingga 2.2Ghz, disamping GPU Mali-G57. Poco mengatakan ia disesuaikan untuk pengguna menikmati kandungan mahupun permainan video melaluinya.
Melengkapkan ia juga adalah storan berasaskan UFS 2.2, dan bateri 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas sehingga 18W. Poco menyertakan pengecas 22.5W secara terbina dalam kotak peranti berkenaan.
Untuk rakaman gambar, Poco M3 Pro 5G hadir dengan tri-kamera belakang dengan sensor utama 48-megapixel, dilengkapi dengan kamera 2MP makro dan juga 2MP kedalaman.
Di Malaysia, Poco M3 Pro 5G akan dijual bermula 6 Jun 2021 kelak, dalam dua variasi.
Versi 4GB RAM dan 64GB storan ditawarkan pada harga RM699, sementara versi 6GB dan 128GB storan ditawarkan pada harga RM799.
Bersempena dengan pengenalan, Poco M3 Pro 5G akan ditawarkan pada diskaun RM100, sekaligus membolehkan setiap model peranti berkenaan didapati pada harga masing-masing RM599 dan RM699 – khusus pada 6 Jun dan 7 Jun sahaja.