Twitter kini dalam persiapan memperkenalkan pelan langganan berbayar mereka tersendiri, dinamakan sebagai Twitter Blue. Melaluinya, pihak Twitter dijangka menawarkan beberapa ciri tambahan, sekaligus membolehkan mereka menjana pendapatan melalui pengguna tegar Twitter.
Terbaru, melalui penyenaraian aplikasi Twitter di App Store, ia sekaligus memperlihatkan berapakah harga langganan yang akan dikenakan terhadap pengguna.
Penyenaraian tempatan memperlihatkan Twitter akan mengenakan caj sebanyak RM12.90 untuk pembelian – memberikan petanda Twitter Blue menawarkan langganan berbayar bulanan sebanyak RM12.90 setiap bulan.
Mengikut desas-desus, Twitter dijangka akan menawarkan ciri seperti kebolehan “Undo Tweet”, susunan Bookmark, dan juga mod pembacaan khusus.
Ciri lain yang akan turut ditawarkan secara berbayar tidak diketahui lagi.
Dengan penyenaraian ini, ia sekaligus memperlihatkan pengenalan Twitter Blue akan dilakukan oleh pihak Twitter tidak lama lagi.
Jadi, sekiranya RM12.90 merupakan harga akhir, adakah anda akan melanggan Twitter secara berbayar, atau kekal menggunakannya secara percuma?