Terbaru, sejumlah pengguna melaporkan masalah dengan kemaskini iOS 14.6 yang telah ditawarkan sejak minggu lepas – mengatakan iOS 14.6 mengakibatkan penggunaan bateri yang tinggi dan cepat habis berbanding sebelum ini.
Untuk makluman, pihak Apple telah memperkenalkan iOS 14.6 secara rasminya sejak minggu lepas. Menjadi kebiasaan selepas naik-taraf sesuatu sistem operasi, ia mengambil masa sehari dua sebelum dapat menyesuaikan penggunaan dan menawarkan prestasi sepenuhnya.
Namun, untuk kali ini, ia dilihat masalah berkenaan berlarutan untuk tempoh yang lama. Terdapat juga beberapa pengguna melaporkan masalah mengatakan iPhone menjadi panas walaupun menggunakannya untuk pelayaran untuk hanya seketika waktu.
Buat masa ini, perkara ini dilaporkan oleh sejumlah pengguna – dan tidak diketahui apakah punca utamanya. Beberapa pengguna mengatakan ia disebabkan oleh aplikasi Podcast, dan ada yang sebaliknya.
Bagi kami sendiri, kami tidak menghadapi masalah dengan bateri pada iPhone buat masa ini. Untuk anda, adakah anda menghadapi masalah dengan penggunaan bateri sejak kemaskini iOS 14.6 minggu lepas?