Tablet Huawe MatePad Pro 12.6″ turut dilancarkan sebentar tadi dengan beberapa penambahbaikan bagi menjadikannya tablet pilihan untuk pengguna profesional. Peranti dilengkapi skrin 12.6″ OLED dengan resolusi 2560 x 1600 yang menyokong paparan warna DCI-P3. Ia dijana cip Kirin 9000e, memori 8GB RAM dan storan sehingga 256GB.
Bateri yang digunakan pula sebesar 10050 mAh yang menyokong pula pengecasan pantas 40W dengan pengecas disertakan dengan setiap pembelian. Kamera utama 13+8+3D ToF MP manakala kamera hadapan pula sebesar 8 MP. Terdapat lensa sudut ultra lebar pada kamera utama.
Dari segi audio pula sebanyak 8 pembesar suara disertakan dengan sokongan audio dan sistem audio HisTen 7.0. Walaupun lapan pembesar boleh diberikan, tiada pula bicu audio 3.5mm disertakan. Sistem nyahkunci biometri yang diberikan hanyalah imbasan wajah. Sedikit aneh tiada pengimbas cap jari disertakan walaupun pada bahagian sisi. Sistem operasi HarmonyOS 2.0 digunakan dan ia membawakan talam, ikon, antaramuka dan pengalaman baharu yang dikatakan lebih baik berbanding Android.
Stylus Huawei M Pencil generasi kedua turut diperkenalkan dengan pengesanan 4096 tahap tekanan dan mata yang disadur dengan platinum supaya lebih bertahan laman. Bahagian kepala stylus lutcahaya bagi membolehkan lukisan yang sedang dilukis dilihat tanpa halangan. Bahagian tubuh M Pencil boleh mengesan tap bagi membolehkan kawalan aplikasi seperti menukar berus dalam aplikasi lukisan. Apabila disambungkan kepada sisi MatePad, ia akan terus dicas secara nirwayar.
Aksesori Smart Magnetic Keyboard pula menambah papan kekunci fizikal. Ketinggian kekunci diperbaiki untuk menawarkan pengalaman menaip yang lebih selesa.
Di China Huawei MatePad Pro 12.6″ ditawarkan pada harga bermula RMB 4999 (~RM3232) untuk versi 128GB/LAN dan meningkat ke RMB 7999 (~RM5171) untuk versi 256GB/5G dengan M Pencil. M Pencil generasi kedua ditawarkan pada harga RMB 599 (~RM 387) dan Smart Magnetic Keyboard pula RMB 799 (~RM516).