Realme 8 5G adalah sebuah peranti kelas pertengahan siri Realme 8, yang mana adalah versi lebih mampu milik berbanding Realme 8 Pro. Peranti ini dilihat mempunyai spesifikasi lebih kurang sama dengan Redmi Note 10 5G dan juga Poco M3 Pro. Cuma menjadi soalan, mana satukah peranti kelas pertengahan asas yang paling berbaloi untuk dimiliki dengan pelbagai pilihan di pasaran sekarang?
Selepas menggunakan Realme 8 5G untuk beberapa minggu, peranti ini mengejutkan memberikan pengalaman penggunaan yang sedikit lebih baik berbanding peranti Realme terdahulu dalam kelas yang sama. Cuma, seperti biasa untuk peranti sebegini akan ada had kemampuan yang boleh dilakukan. Ini adalah artikel ulasan untuk peranti ini.
Spesifikasi Dan Rekaan
Skrin | 6.5″, IPS LCD, 1080 x 2400, FHD+ 90Hz |
Pemproses | MediaTek Dimensity 700 5G (7nm) |
Cip | 2 x 2.2 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G57 MC2 |
RAM | 8GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 128 GB UFS 2.1 |
Kamera Utama | 48+2+2 Megapixel f/1.8 utama + f/2.4 makro+ f/2.4 kedalaman |
Kamera Swafoto | 16 Megapixel f/2.1 |
Bateri | 5000mAh Pengecasan berwayar 18W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ada |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari fizikal di sisi |
Harga Jualan | RM 899 |
Skrin IPS LCD pada kebanyakan peranti kelas pertengahan Realme akan kelihatan lebih kurang sama sahaja. Dengan dagu tebal, bezel tidak sekata dan juga skrin berlubang. Kali ini saiz panel yang digunakana dalah 6.5-inci dengan resolusi FHD+ serta menyokong kadar segar semula 90Hz. Jelas di sini, sokongan kadar segar semula sudah mula menjadi standard untuk peranti dalam kelas ini. Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 700, dipadankan dengan memori 8GB RAM dan juga storan dalaman 128GB UFS 2.1. Pada bahagian kamera, seperti Redmi 10 5G hanya satu lensa sahaja yang benar-benar boleh digunakan kerana ditemani dengan dua sensor gimik – iaitu 48 48 (utama )+ 2 (makro) + 2 (kedalaman) Megapixel. Kamera swafoto pula adaalah 16 Megapixel.
Bateri yang dimuatkan adalah 5000mAh, tetapi sayang sekali kuasa pengecasan terhad kepada 18W sahaja. Perkara yang jarang disertakan oleh Realme, iaitu NFC turut ditawarkan pada peranti ini bersama-sama dengan port bicu audio 3.5mm. Pada audio, hanya pembesar suara mono disertakan. Sekuriti pula adalah pengimbas cap jari fizikal di sisi atau menggunakan wajah melalui kamera swafoto.
Peranti ini menjalankan sistem operasi Realme UI 2.0 berasaskan Android 11. Binaan peranti adalah plastik, ia ringan, tetapi masih memberikan sedikit ciri premium. Cuma, rekaan peranti ini adalah klise sejak Realme 6 lagi kecuali pada modul kamera. Apa yang menarik dengan rekaan peranti ini berbanding Redmi adalah, ia lebih ergonomik dan selesa di tangan. Ia juga tidak begitu licin dan boleh memberikan cengkaman yang baik.
Tiada apa-apa di atas peranti, di bawah adalah kekisi pembesar suara, lubang mikrofon, port bisu audio 3.5mm, dan juga port USB-C. Di sisi kanan adalah slot kad SIM dan butang aras suara, manakala di sisi kiri adalah butang kuasa yang juga merupakan pengimbas cap jari.
Penggunaan Dan Perisian
Cip MediaTek Dimensity 700 bukanlah cip yang terbaik, kerana ia hanyalah satu cip yang berkemampuan sederhana untuk menawarkan sokongan 5G. Tetapi tiada guna pun di Malaysia, kerana 5G tidak boleh digunakan lagi. Kemudian, jika dikatakan simpan untuk masa hadapan, belum tentu dua tahun akan datang akan ada 5G. Jika ada pun, kemaskini peranti pada saat itu sudah pun dihentikan.
Dalam penggunaan selama beberapa minggu, Realme 8 5G memberikan satu pengalaman penggunaan yang cukup baik. Ia adalah seperti apa yang saya jangkakan. Skrin 90Hz benar-benar pantas dan lancar, tiada lengah masa serius atau sistem tergendala. Membuka banyak aplikasi, melakukan tugasan asas harian, melayari web dan aplikasi media sosial adalah baik sahaja. Kualiti skrin juga baik sahaja, sesuai dengan penggunaan ketika PKP kerana tidak terdedah pada cahaya matahari yang terik. Jadi, kecerahan skrin adalah memadai. Menonton video pada mana-mana aplikasi tiada isu pun. Tetapi di mata saya, sedikit kurang selesa kerana dagu yang tebal.
Jujur saya katakan, ini adalah sayu pengalaman yang agak aneh da jarang saya terma daripada peranti Realme. Mungkin kerana saya sudah lama menggunakan peranti yang menjalankan MIUI 12, jadi saya dapat rasakan kelainan pada peranti ini? Prestasi keseluruhan adalah baik, lebih-lebih lagi untuk mengendalikan banyak yang berjalan di latar atau untuk bermain permua.
Semasa video ulasan diterbit, peranti ini masih belum menerima kemaskini dengan sokongan memori tambahan untuk RAM. Ya, siapa sangka yang telefon pintar boleh download RAM? Ia sebenarnya adalah fungsi memori maya daripada Windows yang menggunakan storan dalaman sebagai RAm tambahan untuk membantu meningkatkan prestasi peranti. Secara tidak langsung kos perantia adalah lebih rendah dengan menggunakan jumlah RAM sebenar yang kecil. Pada peranti Realme 8 5G, ia boleh ditetapkan sehingga 5GB – menjadikan RAM peranti adalah 13GB.
Adakah ia benar-benar berfungsi atau sekadar gimik? Dalam cubaan sendiri, ada beza dari segi penggunaan dan juga prestasi. Tidak banyak, tetapi anda boleh rasa bezanya lebih-lebih lagi apabila bermain permua dan ada banyak aplikasi terbuka.
Realme 8 5G menjalankan Realme UI 2.0 berasaskan Android 11. Secara keseluruhan tidak ada banyak perubahan pun, masih sama dengan ColorOS 11 dan mana-mana peranti Realme dan Oppo yang lain menggunakan versi ini. Cuma, macam saya katakan tadi keunikan adalah pada sokongan memori tambahan secara maya. Itu semua adalah perisian. Di sini adalah antara bukti memopri maya tadi berfungsi, kerana Realme UI pada peranti ini cukup baik dan lancar.
Malah, tiada isu teruk yang saya alami pada Redmi/Poco berlaku pada peranti ini. Realme telah membuktikan yang mereka semakin baik dalam perisian. Tetapi ketika awal tetapan peranti, ada sedikit perlahan dan lengah masa. Cuma selepas selesai, peranti ini laju berdesup. Masih ada banyak ciri dan fungsi menarik disertakan, seperti mod gelap, kemampuan kustomasi yang lebih menyeluruh, ciri-ciri pintar untuk memudahkan pengguna dan juga antaramuka yang tidak serabut.
Realme UI juga masih lagi menyertakan elemen Android asli, seperti banyak aplikasi Google dan ciri teras Android 11 yang boleh digunakan. Untuk sebuah peranti pada harga bawah RM1000, tiada isu perisian, dan boleh tambah RAM dengan sendiri – masa hadapan Realme semakin cerah untuk peranti kelas pertengahan mereka.
Telefoni Dan GPS
Antara perkara menarik pada Realme 8 5G adalah, peranti ini tiada masalah dengan telefoni. Tidak kira untuk panggilan telefon atau penggunaan data mudah alih. Sambungan WiFi juga tiada masalah putus-putus dan sambungan adalah stabil. Apabila menerima panggilan telefon, suara boleh dengar dengan jelas dan tidak ada sebarang gangguan hingar yang jelas kedengaran – kecuali kalau dicari. Prestasi GPS juga memadai. Mengambil masa sedikit untuk mengunci lokasi, tetapi selepas itu ia boleh memberikan arahan selok-belok dengan prestasi yang bagus.
Penanda Aras
Prestasi peranti ini, walaupun hanya baik-baik sahaja dengan Asphalt 9 dan tidak begitu memuaskan dengan permua bergrafik tinggi seperti PUBG Mobile atau COD – ia masih lagi berkemampuan untuk beroperasi dengan baik. Skor tanda aras tanpa mengaktifkan fungsi memori maya mencapai 358, 516 pada AnTuTu dan 565/1756 pada Geekbench 5 untuk satu teras/multi-teras.
Skor ini diperoleh tanpa sebarang aksesori penyejuk dan jika aktifkan memori maya sehingga 5GB, menjadikan jumlah memori 13GB – saya yakin tiada masalah untuk peranti ini mencapai skor sekitar 400K untuk AnTuTu atau sekitar 600/1900 pada Geekbench 5.
Ini sekali lagi membuktikan juga yang Realme, boleh mengawal prestasi peranti melalui perisian. Tidak bermakna menerima skor tinggi dalam aplikasi penanda aras akan memberikan pengalaman prestasi seakan peranti mercu dengan cip lebih berkuasa atau menjadikan grafik permua lebih cantik. Sebaliknya, ia lebih kepada pengurusan memori agar peranti tidak tergendala, banyak aplikasi dibuka sistem boleh mengendali semuanya dengan baik dan sedikit sebanyak membantu dalam pengalaman penggunaan secara keseluruhan.
Kamera
Kamera pada peranti ini adalah biasa sahaja. Apa yang anda lihat pada Redmi Note 10 5G dan peranti ini akan memberikan hasil yang lebih kurang sama, kerana tetapan kamera yang sama. Ia seakan Realme dan Redmi memilih peranti ODM sahaja dengan perubahan sedikit pada modul kamera dan perisian.
Pasca-proses pada Realme 8 5G dilihat sedikit lebih baik daripada Redmi. Sekali lagi, di sini membuktikan perisian memainkan peranan. Realme secara perlahan turut memfokuskan kepada perisian dan kecerdasan buatan seakan kebanyakan peranti mercu, yang mana dipopularkan oleh Google Pixel. Kamera swafoto adalah baik sahaja, tetapi seperti biasa memerlukan cahaya yang banyak untuk hasil yang berkualiti. Wajah menjadi sedikit lembut, jadi tidak begitu natural dan seakan ada mod kecantikan diaktifkan walaupun tidak. Mod potret swafoto, mengejutkan mempunyai hasil yang memuaskan untuk peranti dalam kelas ini.
Imej makro juga begitu, di mana jika kurang sahaja cahaya hasil gambar banyak hingar, butiran tidak dipelihara dengan baik dan pada hemat saya – hasil lebih cantik jika menggunakan mod 2x atau terus mengambil gambar jarak dekat. Pada gambar jarak dekat, fokus juga dilihat baik sekali dengan butiran dipelihara dengan baik serta mempunyai warna yang cukup hidup apabila ada sinaran cahaya memancar pada subjek.
Mod zum juga mempunyai kualiti yang boleh diterima, lihat gambar Lemang Daun Lerek ini. Mod biasa pada sensor utama mampu mengambil gambar yang baik diluar, ini adalah pada waktu petang sekitar selepas Asar. Zum dua kali juga mempunyai hasil yang lebih boleh diterima berbanding makro. Akhir sekali zum 5x mampu lagi mengekalkan latar belakang yang kabur seakan mod potret.
Mod automatik pada Realme 8 5G jauh lebih baik daripada Redmi Note 10 5G dengan pasca proses yang lebih pantas, hasil yang lebih cantik dan jelas serta mempunyai kemampuan kadar dinamik tinggi (HDR) yang lebih konsisten. Gambar waktu senja juga kelihatan memuaskan, jika tidak dizum untuk sekadar berkongsi di media sosial.
Akhir sekali utuk fotografi adalah pada mod malam. Ia lebih baik dan cantik jika menggunakan penuras sedia terbina untuk mengurangkan kesan sinaran cahaya daripada lampu yang menganggu. Dengan penuras, hasil imej dilihat cukup baik dan sedikit berbeza jika ingin dikongsi. Bergantung kepada jumlah cahaya yanga da pada waktu malam, pilih penuras yang paling sesuai. Jika mod malam biasa, fokus menjadi sedikit sukar dan hingar juga aga banyak menjadikan hasil gambar kurang memuaskan,.
Audio
Saya boleh menerima sesebuah peranti dengan pembesar suara mono, jika jualitinya enak dan mmepunyai penalaan yang seimbang dari segi low, mid dan high. Tetapi pada peranti ini, pembesar suara mono tidak cukup memuaskan dengan aras suara juga tidak begitu konsisten. Menonton video memerlukan aras suara 70% untuk pengalaman pendengaran yang baik. tetapi jika lebih 80% ia terlampau kuat dan pada aras sekitar 69% ke bawah ia terlampau perlahan.
Bateri
Bateri 5000mAh haruslah mempunyai ketahanan yang baik, sekurang-kurangnya 2 hari untuk penggunaan asas jika peranti adalah sebuah peranti kelas pertengahan yang tidak memfokuskan permua. Untuk penggunaan yang gila ringan, iaitu jika anda rajin buka dan tutup peranti dan sekadar ingin menggunakan untuk tujuan kecemasa seperti peranti utama kehabisan bateri atau ada masalah lain. Realme 8 5G ini saya jadika sebagai peranti sandaran dan dalam masa 13 hari selepas pengecasan 100% ia masih boleh bertahan sehingga 6 jam SOT dengan baki 12%.
Apabila digunakan seperti biasa, 1 hari 18 jam untuk 30 minit Asphalt 9, kurang 10 minit kamera, penggunaan aplikasi penstriman dan media sosial yang tinggi – boleh memberi ketahanan mencapai lebih 8 jam SOT. Malah dengan baki 12% masih boleh memberi ketahanan tambahan sekitar 45 minit dengan baki 2%. Sayang sekali, pengecasan adalah 18W dan ia mengambil masa lebih 1 jam 30 minit. Ini agak lambat dan menjengkelkan.
Pesaing
Oppo A74 | Realme 8 5G | Poco X3 Pro |
6.5″, LTPS IPS LCD, 1080 x 2400 FHD+, 90Hz, 405 ppi | 6.5″, IPS LCD, 1080 x 2400 FHD+ 90Hz, 405 ppi | 6.7″ IPS LCD, 1080 x 2400, FHD+, 120Hz, HDR10, 450 ppi |
Snapdragon 480 (8nm) 2 x 2.0 GHz Kryo 460 6 x 1.8 GHz Kryo 460 | Dimensity 700 5G (7nm) 2 x 2.2 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 860 (7nm) 1 x 2.96 GHz Kryo 485 Gold 3 x 2.42 GHz Kryo 485 Gold 4 x 1.78 GHz Kryo 485 Silver |
Adreno 619 | Mali-G57 MC2 | Adreno 640 |
6GB LPDDR4X | 8GB LPDDR4X | 6GB LPDDR4X |
128GB UFS 2.1 microSDXC | 128GB UFS 2.1 microSDXC | 128GB UFS 3.1 microSDXC |
Kamera Utama 48+8+2+2 Megapixel (f/1.7+f/2.2+f/2.4+f/2.4), EIS | Kamera Utama 48+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.4+f/2.4) | Kamera Utama 48+8+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4) |
Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.1 | Kamera Hadapan 20-Megapixel f/2.2 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Ada bicu audio | Ada bicu audio | Ada bicu audio |
Audio Mono | Audio Mono | Audio Stereo |
5000mAh (Berwayar 18W) | 5000mAh (Berwayar 18W) | 5160mAh (Berwayar 3W) |
Harga RM 1099 | Harga RM 899 | Harga RM 999 |
Kesimpulan
Realme 8 5G adalah sebuah lagi peranti di pasaran Malaysia yang bersaing dengan Poco M3 Pro dan Redmi Note 10 5G. Memberikan pengguna sebanyak tiga pilihan. Adakah jenama main peranan, atau harga? Apakah yang anda cari untuk sebuah peranti bawah RM1000? Penggunaan serius? Peranti sandaran? Untuk kedua-dua orang tua atau anak-anak?
Dengan skrin yang baik, sokongan 90Hz yang pantas, perisian yang cukup stabil serta mempunyai prestasi berkemampuan – peranti ini menarik minat hati saya. Kamera juga lebih baik daripada pesaing, dengan ketahanan bateri juga memuaskan. Tetapi jika rekaan bukan faktor penting dalam membuat keputusan membeli – saya tidak ada masalah untuk sarankan peranti ini jika bajet anda adalah RM900. Ini kerana peranti ini dijual pada harga RM899 sahaja.
Poco M3 Pro adalah RM799 6/128 GB, manakala Redmi Note 10 5G juga berharga RM799. Dengan tambahan RM100 anda menerima sebuah peranti dengan pengalaman yang lebih seimbang. Manakala jika anda kurangkan RM100, anda mempunyai dua pilihan perantim yang bergaya dengan sokongan kemaskini yang lebih terjamin.
Pro
- Prestasi memuaskan dengan memori maya 5GB, menjadikan peranti mempunyai 13GB RAM.
- Skrin 90Hz yang pantas dan lancar.
- Kemampuan kamera yang memuaskan untuk peranti dalam kelasnya.
- Ketahanan bateri yang menggembirakan hati semua orang.
Kontra
- Bermain permua tidak begitu memuaskan kerana grafik yang ala kadar.
- Rekaan dan binaan peranti yang tidak begitu cantik dan premium seperti pesaing.
- Kualiti audio yang tidak begitu baik.
- Kuasa pengecasan yang agak perlahan untuk bateri 5000mAh.