Samsung telah merancakkan lagi rangkaiaan peranti pintar keluarannya menerusi pengenalan terkini rangkaian siri Galaxy A, beberapa bulan yang lalu. Antara salah satu model yang diperkenalkan adalah Samsung Galaxy A52 5G dan ianya dijual di Malaysia pada harga RM1899.
Menyentuh soal kameranya, Samsung Galaxy A52 5G mempunyai sokongan kuad-kamera dengan sensor utama 64-Megapixel + 12-Megapixel (Ultra-lebar) + 5-Megapixel (Makro) + 5-Megapixel (kedalaman). Terkini, DxoMark telah mengeluarkan laporan baharu mengenai keupayaan kamera utama pada peranti ini.
Melaluinya, Samsung Galaxy A52 5G dilihat meraih markah keseluruhan sebanyak 102 mata. Ini sekaligus memposisikannya setanding dengan Google Pixel 3 dan Redmi K20 Pro. Untuk ringkasan ujian, Samsung Galaxy A52 5G mencatatkan sebanyak 107 mata untuk keupayaan kamera. Kemudian, 56 mata pula untuk keupayaan zum dan 90 mata untuk keupayaan video.
Pujian diberikan kepada gambar dan video yang terang dengan dedahan yang baik. Seterusnya, hasil bokeh memuaskan dengan perincian yang hampir tepat dalam kebanyakan situasi, kawalan hingar yang baik dalam video dan imbangan putih yang konsisten serta semula jadi. Kritikan pula diberikan kepada sistem autofokus yang tidak stabil, kegagalan kamera menghasilkan perincian yang baik pada pencahayaan rendah dan penstabilan video yang dikatakan gagal berfungsi dengan baik.
Sumber : DxOMark