Selepas melancarkan monitor kadar segar semula pertama dalam siri Mi Fast Monitor yang bersaiz 27-inci, Xiaomi teruskan dengan model 24.5-inci pula pada tahun lepas. Monitor ini hadir dengan sokongan VESA DisplayHDR 400, kadar segar semula 144Hz, dan dijual pada harga sekitar RM600.

Terkini, untuk tahun 2021 Xiaomi mengemaskini model ini kepada sokongan kadar segar semula 165Hz pula. Secara tidak langsung nama baharu bagi produk ini adalah Mi Fast LCD Monitor 24.5″ 165Hz. Ia menggunakan panel IPC LCD dengan resolusi FHD+, nisbah paparan 16:9, gamut warna DCI-P3 95%, sRGB 100%, nisbah kontras dinamik 1000000:1, kecerahan 400 nits dan sudut pandangan 178 darjah.

Monitor ini juga mengekalkan sokongan format HDR yang sama serta menyokong NVIDIA G-Sync. Rekaan masih lebih kurang sama dengan bezel nipis, tetapi dagu sedikit tebal. Sokongan perlindungan mata pengguna seperti DC Dimming dan pengiktirafan TÜV Rheinland turut ditawarkan. Port sambungan adalah 2x HDMI, 1x DP 1.2, 1x port bicu audio 3.5mm dan satu port untuk kabel kuasa.

Seperti sebelum ini, monitor ini juga boleh dicagak pada dinding dan sudut pandangan boleh dilaras untuk pelbagai bahagian atas, bawah, kiri dan kanan. Harga jualan adalah sedikit lebih mahal, iaitu RMB 1,499. Ia adalah sekitar RM 967. Jualan juga terhad di China sahaja buat masa ini.