Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat produk tablet Ravida 200mg (Ravidasvir Hydrochloride 200mg) yang digunakan secara kombinasi dengan ubat lain untuk merawat jangkitan virus hepatitis C kronik (HCV) dalam kalangan orang dewasa. Ini menjadikan Malaysia negara pertama dunia menggunakan Ravida untuk merawat HCV.
Penggunaan secara bersyarat dibenarkan kerana Ravida dilihat sebagai kaedah rawatan dengan kos yang lebih berpatutan berbanding rawatan menggunakan ubat Direct Acting Antivirals (DAA) pada masa ini menelan kos yang tinggi. Jangkitan HCV merupakan isu kesihatan awam di negara ini dan Malaysia komited untuk menghapuskan HCV menjelang 2030.
Produk ini dikilangkan oleh Doppel Farmaceutici S.R.L, Itali yang mana Pharmaniaga Manufacturing Berhad adalah pemegang pendaftaran produk tersebut di Malaysia.
Kelulusan pendaftaran bersyarat produk Ravida ini memerlukan pemegang pendaftaran produk untuk mengemukakan data tambahan dan terkini produk tersebut dari semasa ke semasa, untuk memastikan keberkesanan dan keselamatannya diperbaharui dan perbandingan manfaat-risiko bagi produk ini sentiasa positif.
Sumber KPKesihatan