Samsung Membangunkan Skrin OLED Boleh-Regang Untuk Ditampal Pada Kulit

Diterbitkan pada Jun 7, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Para penyelidik Samsung daripada Samsung Advanced Institute of Technology atau SAIT telah membangunkan satu teknologi skrin baharu – iaitu skrin OLED boleh-regang. Ia adalah skrin OLED dengan kemampuan boleh-regang, bersaiz mini, dan boleh tahan lama.

Skrin ini dikatakan adalah untuk penjejak kesihatan, di mana pelbagai sensor boleh dimuatkan juga – seperti pengimbas nadi, pemantauan tidur, senaman, membaca data biometrik dan banyak lagi. Menurut wakil penyelidik, apabila ia ditampal pada kulit manusia – ia akan terasa seperti sebahagian daripada kulit dan bukan sesuatu yang asing.

Dalam ujian Samsung, skrin boleh-regang ini boleh bertahan sehingga 1000 kali regangan termasuk jika kulit manusia berlaku 30% pemanjangan (jika dipakai dari satu usia ke usia lain, tiada masalah). Lebih menarik, keseluruhan prototaip juga tidak rosak apabila ujian regangan ini dilakukan dan semua sensor masih berfungsi dengan biasa.

Skrin tersebut diperbuar daripada plastik dengan bahan elastomer. Pemasangan sensor pula menggunakan kaedah fotolitografi yang membenarkan micro-patterning dan juga pemprosesan di kawasan yang luas. Kemudian dengan penggunaan bahan elektrod boleh-regang juga, is menjadikan keseluruhan produk lebih tahan lama seperti semua sensor, wayar dan komponen masih berfungsi dan skrin juga tidak menjadi cacat.

Samsung masih berada di fasa awal pembangunan. Masih banyak kajian lagi perlu dilakukan. Tetapi mereka berhasrat untuk menggunakan teknologi ini kepada peranti boleh pakai akan datang. Secara tidak langsung menawarkan satu lagi format penjejak kesihatan yang berbeza dan juga unik.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami