Razer Hammerhead True Wireless X Diperkenalkan – Fon Telinga TWS Dengan Sistem Pencahayaan RGB Berharga RM349

Diterbitkan pada Jun 9, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Razer ialah jenama aksesori komputer terkemuka yang paling terkemuka dan premium dalam industri gaming. Mereka baru-baru ini dilihat telah melancarkan sebuah lagi aksesori audio baru yang dibangunkan khusus untuk peranti-peranti pintar, iaitu Razer Hammerhead True Wireless X.

Fon telinga TWS terbaru Razer ini dilihat mempunyai rekaan hampir sama seperti apa yang ditawarkan pada model sebelum ini, tetapi hadir dengan beberapa ciri-ciri baru yang membuatkannya sebuah aksesori pengiring peranti pintar yang sangat baik tidak kira anda seorang gamer ataupun seseorang yang mengingini kualiti audio yang baik.

Pertama, Razer Hammerhead True Wireless X ini dilengkapi Bluetooth 5.2 dan menyokong teknologi-teknologi penyambungan peranti seperti Auto-Pairing dan juga Google Fast Pair untuk penyambungan terus kepada peranti yang pantas dan mudah.

Fon telinga Hammerhead True Wireless X ini juga kini mempunyai sistem pencahayaan RGB yang boleh diubahsuai pada bahagian panel sesentuh di bahagian belakangnya, yang juga boleh diubahsuai untuk menentukan cara penggunaannya bergantung kepada berapa kali panel di kedua-dua bahagian fon telinga ini disentuh.

Razer turut memperkenalkan aplikasi Razer Audio App untuk membolehkan pengguna untuk mengubahsuai pelbagai fungsi-fungsi pada fon telinga ini, seperti warna RGB, fungsi sesentuh dan juga berfungsi sebagai cara untuk Razer memasang kemaskini baru pada fon telinga ini.

Dari segi jangkahayat bateri, dengan rangka pengecasannya, Razer mengatakan bahawa fon telinga Hammerhead True Wireless X ini boleh memainkan audio selama 24 jam, ataupun 28 jam apabila sistem pencahayaan RGB dipadamkan.

Menurut Razer, fon telinga Hammerhead True Wireless X ini ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM349 di kedai-kedai pengedar sah kelengkapan Razer. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai fon telinga ini, anda boleh membaca mengenainya di laman web Razer.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami