Model CPU Dan Rekaan Dalaman Komputer NUC Beast Canyon Diperlihatkan

Diterbitkan pada Jun 9, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada minggu lepas, kami ada melaporkan bahawa Intel telah menunjukkan komputer Next Unit of Computing terbaru mereka yang diberikan nama Beast Canyon. Keunikan komputer ini hadir melalui saiznya yang lebih besar daripada komputer NUC Intel sebelum ini, dimana ia hadir dengan sokongan untuk kad grafik bersaiz penuh.

Terkini, butiran tambahan telah diperlihatkan mengenai komputer Beast Canyon ini, khususnya spesifikasi CPU yang akan ditawarkan khusus untuknya. Intel nampaknya telah membangunkan sejumlah siri CPU baru dengan nama model KB di hujungnya, yang mana ia menggunakan soket komputer riba, tetapi hadir dengan spesifikasi untuk CPU kelas desktop.

Empat prosesor yang akan diperkenalkan ini termasuklah Intel Core i9-11900KB, Intel Core i7-11700B, Intel Core i5-11500B dan Intel Core i3-11100B. Kesemua model-model CPU ini telahpun disenaraikan di laman web Intel Ark yang menyenaraikan semua pilihan CPU yang ditawarkan di pasaran.

Apa yang lebih menarik lagi ialah bagaimana CPU-CPU ini akan ditawarkan untuk komputer Beast Canyon ini. Intel menggunakan konsep komputer-dalam-komputer, yang mana didalam rangka Beast Canyon ini ialah sebuah rangka komputer yang lebih kecil yang merumahkan komponen CPU dan juga slot-slot lain untuk memori dan storan.

Rangka ini kemudiannya dipasang pada sebuah papan litar yang disambungkan pada sebuah slot PCIe yang membolehkan sebuah kad grafik disambungkan kepada komputer ini.

Ia juga nampaknya bahawa sistem penyejukan Beast Canyon ini berbina ke rangka dalaman komputer Beast Canyon ini, dan akan mengalirkan haba terus ke sebelah bahagian kad grafik.

Setakat ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah Intel akan bercadang untuk menjual komputer NUC Beast Canyon ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami