Cari @ Amanz

Seperti mana yang ramai sedia maklum, OnePlus Nord CE 5G bakal membuat kemunculan rasmi esok iaitu 10 Jun 2021. Menjelang pelancaran rasmi, pihak OnePlus kini berkongsi satu lagi spesifikasi utama pada peranti pintar berkenaan menerusi hantaran terkini di Twitter, baru-baru ini.

Melaluinya, OnePlus Nord CE 5G disahkan hadir dengan bateri sebesar 4,500mAh. Bersama-sama dengannya, ia turut disertakan dengan sokongan teknologi pengecasan pantas, Warp Charge 30T Plus yang diiklankan mampu untuk mengecas peranti daripada 0% sehingga mencapai 70% dalam hanya 30 minit sahaja. Selain daripada itu, rekaan fizikal penuh peranti turut sama didedahkan oleh pihak OnePlus menerusi hantaran yang sama.

Di mana, ia memperlihatkan OnePlus Nord CE 5G hadir dengan panel hadapan sejenis berlubang bersama sokongan lensa swafoto tunggal. Bersama-sama dengannya, ia bakal turut menampilkan sokongan pengimbas cap jari yang terbina pada skrin. Bukan itu sahaja, ia juga dilihat mempunyai sokongan sistem tri-kamera di belakang yang disusun secara menegak.

Salah satu daripada pilihan warna untuk peranti berkenaan turut telah dikongsi – yang mana ia boleh didapati dalam kemasan bewarna Blue Void. Melaluinya, ia akan menampilkan kemasan matte menarik yang dikhabarkan mampu mengurangkan masalah kotoran cap jari pada panel belakang. Di samping itu, kemasan sebegini juga dikatakan sesuatu yang lebih segar dan malar.  Seperti biasa, setia dengan kami di Amanz untuk ketahui penawaran lebih lanjut kelak.

Sumber : OnePlus India

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd