Carian
Ulasan Yeelight Light Bar – Lampu Meja Komputer Untuk Mereka Yang Rajin Bersengkang Mata
June 14, 2021 Nazrin

Diantara tabiat buruk sebagai seorang penggemar permainan komputer dan seorang yang bekerja dari rumah ialah bekerja dalam gelap. Secara lazimnya, seseorang akan berkata bahawa ia adalah lebih mudah untuk fokus apabila bekerja dalam gelap. Akan tetapi kesan-kesan sampingannya akan dirasai oleh mata pengguna sendiri. Disamping itu, ia adalah agak sukar untuk mencari barang dalam gelap apabila diperlukan, dan pengguna masih akan perlu bangun untuk membuka lampu dan kadang-kala anda akan merasakan bahawa ini adalah melecehkan.

Yeelight ialah sebuah jenama lampu dari China yang cukup dikenali untuk aksesori-aksesori pencahayaan mereka, dan mereka baru-baru ini telah menghantar kepada kami Yeelight Light Bar, iaitu sebuah lampu komputer yang boleh dipasangkan terus kepada bahagian paparan skrin desktop untuk menerangkan bahagian meja untuk pengalaman menggunakan komputer dalam gelap yang lebih selesa.

Rekaan

Didalam kotak Yeelight Light Bar terkandung empat bahagian, termasuklah bar lampu Yeelight, pemegang magnetik dan juga plug kuasa yang menghidupkannya. Bahagian keempat, dan salah satu fungsi yang membuatkan lampu komputer Yeelight ini unik ialah pengawal lampu nirwayar.

Ia hadir dengan rekaan yang agak ringkas, dimana rangkanya semua diperbuat daripada aluminum dan mempunyai warna perak. Bahagian bar lampu disambungkan ke bahagian pemegang melalui sistem magnet, dan pemegangnya disepitkan kepada bahagian atas paparan skrin.

Kabel plug kuasa dicucukkan ke bahagian belakang bar lampu ini, dimana apabila plug diaktifkan, ia akan menyala dengan sendiri, dan pengawal lampu nirwayar perlu digunakan untuk memadamkannya. Apabila diaktifkan, kedua-dua lampu utama dan lampu ambien di belakang akan diaktifkan, dan saya akan terangkan bagaimana untuk mengawal lampu-lampu ini sebentar lagi.

Bercakap mengenai pengawal lampu nirwayar, ia adalah aksesori yang anda akan gunakan dengan kerap sekali untuk memasang, menutup dan mengubah kekuatan lampu ini. Untuk mengaktifkannya, anda perlu memasang dua bateri AA di bahagian bawah pengawal ini yang boleh diakses dengan memutar bahagian tapak getahnya.

Setelah bateri dipasang, anda boleh menekan bahagian atas pengawal ini sekali untuk memasang/menutup lampu utama Yeelight Lightbar ini, dan menekannya dengan lama untuk memasang/menutup lampu ambien.

Untuk mengubahsuai kekuatan lampu utama, anda hanya perlu memutar roda mengikut arah jam ataupun arah lawan jam, dan penggunaannya sangat mudah sekali.

Model Yeelight Light Bar yang dihantar kepada kami untuk diuji merupakan model asas, dan jika anda membeli model Yeelight Lightbar Pro, ia turut hadir dengan sokongan untuk sistem pencahayaan RGB melalui lampu ambiennya yang boleh diubahsuai melalui perisian Razer Synapse yang boleh diselarikan dengan komputer anda.

Pengalaman Pengguna

Bagi saya, sebagai seorang gamer tegar dan seorang yang gemar berjaga malam dan bersengkang mata sehingga 2-3 pagi, saya akui bahawa menggunakan komputer dalam keadaan gelap bukanlah sesuatu yang sihat. Pemasangan Yeelight Lightbar ini sangatlah senang. Langkah-langkah yang dinyatakan diatas tadi semuanya boleh dilakukan dalam masa kurang dari 5 minit, dan anda mempunyai dua bateri AA yang boleh dipasang serta merta.

Pada awalnya, saya berasa agak skeptikal mengenai keberkesanan Yeelight Lightbar ini dan sebab mengapa orang akan mahu menggunakannya. Apabila saya sudah siap memasangnya, dan mempelajari bagaimana untuk menggunakannya dengan cekap, saya sedar bahawa ini adalah pelengkap bilik terbaik untuk tujuan produktiviti dan riadah dalam gelap.

Sepanjang pengalaman saya menggunakan Yeelight Lightbar ini, saya boleh mengekalkan keadaan bilik yang gelap tetapi dengan permukaan meja yang terang tanpa memakan sebarang ruang. Bukan sahaja saya boleh fokus kepada tugasan harian tanpa sebarang gangguan, tetapi saya masih boleh melihat dan mencari persekitaran saya dengan cepat dan mudah.

Satu lagi kelebihan menggunakan Yeelight Lightbar ini ialah pengawal nirwayar yang berbentuk roda yang memudahkan pengubahsuaian kecerahan lampu dengan cepat dan mudah juga. Malah, pengguna tidak perlu menyelarikan aksesori tersebut kepada lampu ini, apabila bateri dipasangkan, ia terus boleh digunakan tanpa masalah.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, Yeelight Lightbar ini juga hadir dengan lampu ambien terbina, tetapi sayangnya ia hanya hadir dengan satu warna (putih) dan tidak boleh diubahsuai kecerahannya. Pada pendapat saya ini bukanlah satu kekurangan yang begitu ketara, tetapi jika ia sesuatu yang anda titik-beratkan, khususnya untuk estetik kawasan komputer anda, anda boleh memilih untuk mendapatkan model Lightbar Pro yang hadir dengan sokongan Razer Chroma.

Bercakap mengenai kekurangan, Yeelight Lightbar ini sedikit terhad dari segi penggunaannya dari beberapa aspek yang mungkin boleh diperbaiki dalam model-model akan datang.

Pertama ialah jenis cahaya yang dipancarkan oleh lampu LED aksesori ini. Ia adalah gabungan lampu LED putih dan kuning yang mengurangkan kepedihan mata apabila memandang ke paparan untuk sekian lamanya. Kelebihan ini pada pendapat saya menjadi sebuah kekurangan apabila suhu cahaya yang dipancarkan tidak boleh diubahsuai untuk menjadi lebih atau kurang suam.

Ini bukanlah sesuatu kekurangan yang ketara, tetapi oleh kerana Yeelight menggunakan lampu LED untuk aksesori ini, kebolehan mengubahsuai suhu pencahayaan akan menjadikannya sebuah lampu yang lebih baik lagi.

Kedua ialah untuk model asas ini, lampu ambien di bahagian belakang hanya boleh dipasang dan dipadam, dan tidak boleh diubah kekuatan pencahayaannya. Pada pendapat saya, ada yang suka pencahayaan ambien yang malap, dan ada yang sukakannya lebih terang.

Untuk ini, Yeelight Light Bar Pro lebih sesuai kerana ia hadir dengan fungsi untuk mengawal kecerahan lampu ambien tersebut, termasuklah ciri penyelarian warna RGB yang hadir melalui Razer Chroma. Jika anda seperti saya tidak begitu hiraukan tentang pencahayaan RGB, ini bukanlah suatu isu yang besar.

Penutup

Adakah berbaloi membeli Yeelight Lightbar ini? Untuk pasaran Malaysia, Yeelight membawa masuk Yeelight Light Bar Pro yang berharga RM319 secara rasmi. Versi ini, seperti yang dikatakan sebelum ini hadir dengan sokongan integrasi Razer Chroma, jadi mereka yang sudahpun memiliki ekosistem Razer seperti tetikus, papan kekunci dan fon kepala akan boleh memasang lampu ini dengan cepat dan mudah.

Secara lazimnya, golongan gamer memang benar-benar suka berada dalam keadaan gelap, khususnya jika mereka telah membina sebuah ekosistem PC yang mementingkan pencahayaan RGB untuk menikmati estetik berwarna-warni itu.

Pada hemat saya, jika anda seorang yang gemar bermain permainan komputer atau melakukan kerja dalam gelap, bar lampu Yeelight ini boleh dianggap sebagai pelaburan untuk kesihatan mata anda, disamping mencantikkan lagi ruangan komputer anda.

Penggunaan dan pemasangan yang mudah juga menjadikannya sebuah aksesori yang berbaloi untuk estetik dan keselesaan penggunaan komputer yang berpanjangan.

Pro

  • Mudah dipasang
  • Pengawal nirwayar yang mudah digunakan
  • Pencahayaan kawasan yang baik

Kontra

  • Harga
  • Tidak boleh mengawal suhu cahaya
  • Model asas tidak boleh mengawal kecerahan lampu ambien
  • Tiada RGB
Komen