Carian
Xiaomi Melancarkan Pembesar Suara Dengan Kamera 4K Terbina Khusus Untuk Telesidang
June 9, 2021 Fahim Zahar

Xiaomi baru-baru ini telah melancarkan satu lagi produk audio, menyasarkan penggunaan yang lebih sesuai dengan pandemik Covid-19 – iaitu khusus untuk bekerja dari rumah atau belajar dari rumah. Produk ini adalah Xiaomi Audio and Video Conference Speaker.

Pembesar suara ini direka seakan sound bar, agar sesuai diletakkan di bawah televisyen atau paparan. Xiaomi turut mempromosikan kemampuan pasang terus pada dinding, menggunakan aksesori cagak atau juga dermaga khas. Xiaomi menggunakan pemandu audio 2.5-inci dengan sokongan HiFi, dijana dengan cip Qualcomm APQ8053 lapan-teras, 14nm dan juga mempunyai lima mikrofon terbina. Pembesar suara juga menyokong siaran audio 360 darjah untuk kualiti yang lebih baik dan jelas.

Pembesar suara ini turut mempunyai kamera terbina yang menyokong rakaman 4K, sudut pandangan 12-darjah dengan kemampuan mengubah posisi ke atas atau ke bawah sebanyak 10 darjah, serta mempunyai sokongan baik untuk digunakan bersama Zoom, Skype, WeChat dan beberapa perkhidmatan lain di China.

Dengan sistem kecerdasan buatan tersendiri, ia boleh mengesan wajah manusia sejauh 5 meter untuk menangkap audio yang lebih jelas dan juga sejauh 3 meter untuk kualiti audio HD. Untuk privasi, kamera yang terbina turut mempunyai butang fizikal untuk terus ditutup.

Harga jualan adalah RMB 1,999, iaitu sekitar RM 1,289. Jualan akan bermula di China pada 10 Jun.

Komen