Samsung Akan Memperkenalkan Storan SSD PCIe 4.0 Dan 5.0 Dengan V-NAND 176 Lapis

Diterbitkan pada Jun 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung terkenal di seluruh dunia bukan sahaja untuk peranti pintar, komputer riba dan siri televisyen mereka. Malah, syarikat teknologi Korea Selatan ini adalah salah satu daripada syarikat-syarikat yang turut membuat komponen-komponen mereka sendiri.

Terkini, ia dilaporkan bahawa Samsung hampir siap membangunkan komponen V-NAND 176 lapis untuk digunakan dalam storan SSD PCIe 4.0 dan PCIe 5.0 yang akan ditawarkan di masa hadapan. Dengan ini, ia dijangka bahawa Samsung boleh meningkatkan kapasiti storan mereka kepada 5-6 TB dalam satu SSD, berbanding dengan 4TB menggunakan V-NAND 136 lapis mereka.

Dengan kemampuan sedia-ada, Samsung mampu membangunkan komponen-komponen mereka sendiri tanpa bantuan syarikat-syarikat lain, mempercepatkan proses pengilangan dan penghantaran terus ke pasaran untuk produk-produk mereka.

Menurut beberapa laporan, nampaknya Samsung sedang berada dalam fasa akhir untuk pembangunan NAND 176 lapis ini, dimana pengilangan besar-besaran akan dimulakan kelak. Setakat ini masih tiada butiran mengenai bilakah storan SSD dengan V-NAND baru ini akan diperkenalkan.

Kami menjangkakan bahawa Samsung akan mula memperlihatkannya sekitar masa yang sama dengan pengumuman komponen-komponen baru oleh syarikat-syarikat seperti Intel dan AMD kelak.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami