Teknologi Grafena Boleh Digunakan Untuk Meningkatkan Kapasiti Storan Cakera Keras

Diterbitkan pada Jun 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Para penyelidik di Cambridge Graphene Centre dan University of Exeter baru-baru ini telah menemui satu cara baru untuk meningkatkan lagi kapasiti storan cakera keras walaupun ia menggunakan teknologi penulisan data yang berbeza seperti HAMR ataupun MAMR.

Dengan menggunakan bahan grafena, iaitu zarah karbon senipis satu atom, penyelidik-penyelidik ini mendapati bahawa mereka boleh menambahkan jumlah cakera fizikal didalam sebuah perkakasan cakera keras, menjadikannya storan digital berkapasiti tinggi yang boleh digunakan dalam pelbagai jenis aplikasi.

Menurut mereka, kapasiti storan cakera keras dapat ditingkatkan sebanyak 2.5 kali ganda berbanding bahan karbon yang digunakan sekarang yang mempunyai ketebalan 3nm. Walaupun grafena jauh lebih nipis daripada bahan karbon tersebut, ia juga hadir dengan kemampuan untuk memastikan cakera-cakera storan ini lebih kalis rosak dan hakisan, memanjangkan hayat storan cakera keras.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, penggunaan grafena ini juga membolehkan penggunaan teknologi penulisan data HAMR dan MAMR, HAMR terutamanya kerana teknologi tersebut menggunakan haba untuk menulis data ke cakera yang akan mengikis lapisan karbon tersebut.

Penggunaan lapisan grafena masih lagi dalam proses eksperimentasi. Apabila sedia kelak, kami jangkakan bahawa syarikat-syarikat seperti Western Digital, Seagate dan sebagainya akan menggunakan teknologi untuk meningkatkan kemampuan siri cakera keras mereka sendiri.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami