Carian
Samsung ISOCELL JN1 Diperkenalkan – Sensor 50MP Terkecil Dunia
June 10, 2021 Fahim Zahar

Selain daripada Sony, Samsung juga turut terkenal dalam penawaran sensor kamera untuk pelbagai telefon pintar. Sensor ISOCELL mereka semakin dikenali ramai apabila banyak peranti kelas pertengahan, mula menggunakan sensor berkualiti yang Samsung tawarkan.

Antara yang terkenal adalah ISOCELL GN1 dan GN2 yang menawarkan kemampuan 50MP. Terkini, Samsung ingin meluaskan lagi penggunaan sensor 50MP kepada lebih banyak peranti. Untuk itu, ISOCELL JN1 diperkenalkan – sensor 50MP terkecil dunia dengan saiz piksel 0.64μm.

Keseluruhan saiz sensor ini adalah 1/2.76-inci, iaitu sekitar 0.362-inci. Dengan saiz yang kecil ini, sensor boleh digunakan pada mana-mana bahagian peranti tidak kira swafoto atau di belakang. Pada belakang, sensor ini boleh digunakan untuk sudut ultra lebar atau juga telefoto. Dengan saiz yang kecil ini juga, saiz bonjol kamera boleh dikurangkan sehingga 10%. Dengan sensor ini juga, kemampuan fotografi di masa kurang pencahayaan juga boleh dikendalikan dengan baik.

Menjadikan sensor ini lebih menarik adalah, ia hadir dengan sokongan Super PD – iaitu sistm autofokus baharu yang berganda lebih pantas. Ia juga menyokong rakaman video 4K 60FPS dan 1080P 240FPS. Untuk warna, sensor ini tiada masalah untuk menyokong warna 10-bit dengan penggunaan ISOCELL 2.0 yang turut mempunyai sistem penuras warna Tetrapixel RGB Bayer Pattern.

Buat masa ini, masih tidak pasti peranti apakah yang akan menggunakan sensor ini. Sama-sama kita nantikan.

Komen