Ulasan Huawei Matebook D 15 (2021) – Mampu Penuhi Keperluan Produktiviti Harian

Diterbitkan pada Jun 13, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jenama Huawei sudah pastinya tidak asing lagi dalam bidang teknologi. Melaluinya, Huawei bukan sahaja menumpukan perhatiannya terhadap penawaran peranti pintar semata-mata. Malahan, mereka turut melebarkan sayap dalam pelbagai segmen lain – ini termasuklah komputer riba. Sehingga kini, mereka sedia hadir dengan pelbagai pilihan model komputer riba buat pengguna di Malaysia.

Misalnya seperti, rangkaian Huawei Matebook, Huawei MateBook X dan Huawei MateBook D. Setiap satu daripadanya mempunyai pelbagai fungsi dan target pengguna yang berbeza. Namun apa yang pasti, kesemuanya masih memfokuskan kepada produktiviti harian. Bukan itu sahaja, ianya juga didatangkan dengan rekaan yang nipis dan ringan – bertujuan untuk memudahkan para pengguna membawanya ke mana-mana sahaja tanpa sebarang masalah.

Huawei MateBook D15 11th i5 (2021)

Sama seperti model Huawei MateBook D15 11th i5 (2021) ini sendiri. Di mana, ia merupakan sebuah komputer riba yang cukup nipis, ringan dan juga mudah digunakan dalam apa jua keadaan. Ia juga merupakan antara model komputer riba keluaran Huawei untuk tahun 2021 yang dikemaskini dengan CPU Intel Tiger Lake, pilihan grafik bersepadu Intel Iris Xe dan lain-lain. Memandangkan ia kedengaran agak menarik, kami berpeluang untuk mencubanya sendiri untuk beberapa minggu. Sebelum kami terlupa, model yang kami terima mempunyai sokongan memori 16GB DDR4 RAM dan storan dalaman 512 GB PCIe SSD. Menerusi artikel ini, kami akan berkongsi pengalaman penggunaan komputeri riba ini daripada awal sehinggalah akhir. Teruskan membaca!


Spesifikasi Ringkas Peranti

Nama ModelHuawei MateBook D15 11th i5 (2021)
Saiz Paparan 15.6-inci IPS Huawei FullView Display
FHD 1920 x 1080 piksel
Nisbah aspek 16:9
Tiada sokongan skrin sesentuh
PemprosesIntel Core i5-1135G7 
Cip GrafikIntel Iris Xe Graphics
RAM16GB
Muatan Dalaman512 GB PCIe SSD
Kamera1MP
Palam I/OUSB-C x 1 (Pengecasan & hantar data)
USB 3.0 (USB-A) x 1
USB 2.0 (USB-A) x 2
Bicu audio 3.5mm
HDMIHDMI x 1
SekuritiImbasan Cap jari (Windows Hello)
Bateri42 Wh
Huawei USB-C Power Adapter 65W 
HargaRM3899

Rekabentuk

Menyentuh aspek binaan luaran, tiada sebarang perubahan drastik yang dibuat oleh Huawei. Sebaliknya, rekaan yang ditampilkan kelihatan lebih kurang sama seperti kebanyakan model sedia ada. Biarpun digayakan ringkas, ia tetap sinonim dengan penampilan kemasan yang elegan dan premium. Tubuhnya masih diperbuat daripada bahan aloi aluminium dengan kemasan matte yang baik untuk sentuhan. Tidak habis di situ, ia juga mempunyai binaan yang terasa cukup kukuh.

Huawei MateBook D15 11th i5 (2021)

Mungkin akan ada pihak yang akan berpendapat, kemasan sebegini pastinya akan menggembirakan mereka yang tidak mahu dihantui dengan masalah kotoran cap jari. Tetapi tunggu dulu! Ini tidak benar sama sekali. Pengalaman kami sendiri mendapati kesan kotoran cap jari mudah melekat di sekitar permukaan komputer riba – terutamanya di bahagian atas papan kekunci. Unit ulasan yang kami terima adalah Huawei MateBook D15 11th i5 (2021) dalam warna Mystic Silver. Untuk makluman pembaca, tiada sebarang pilihan warna lain. Di Malaysia, hanya terdapat satu warna sahaja yang ditawarkan untuk model komputer riba ini.

Paparan Penuh

Seterusnya, Huawei nampaknya bijak dalam memaksimakan paparan pada komputer riba ini. Di mana, ia menggunakan saiz bezel yang nipis kira-kira 5.3mm pada bahagian sisi dan atas skrin – sekaligus mampu menawarkan nisbah skrin-ke-badan mencecah 87%. Namun begitu, kalau anda perasan sokongan bezel pada bahagian bawah skrin kelihatan agak tebal. Turut kelihatan, ia turut dihiasi dengan penjenamaan Huawei bewarna perak. Biarpun begitu, keseluruhannya masih kelihatan baik dan kewujudannya bezel tebal ini juga langsung tidak menganggu. Untuk makluman, kesemua bezelnya ini menggunakan bahan berasaskan plastik.

Kamera Web 1MP

Seperkara yang perlu diberi perhatian adalah kedudukan untuk kamera web. Di mana, Huawei MateBook D15 11th i5 (2021) masih mengekalkan tradisi dengan penggunaan kamera tersembunyi yang diletakkan pada papan kekunci – iaitu di antara kekunci fungsi F6 & F7 pada barisan teratas. Untuk menggunakannya, anda hanya perlu menekan kekunci berkenaan dan komponen kamera akan terus didedahkan secara penuh. Kemudian, buka sahaja aplikasi kamera untuk mengaktifkannya.

Anda juga akan perasan terdapatnya nyalaan lampu kecil bewarna putih yang memberi petanda bahawa kamera sedang aktif. Meskipun rekaan sebegini mungkin mempunyai tujuan yang baik – misalnya privasi pengguna akan lebih terjaga. Pada masa sama, ia juga sebenarnya masih mempunyai kekurangan yang begitu ketara. Apa pula agaknya kelemahan tersebut? Kami akan berkongsi lebih lanjut di bahagian pengalaman penggunaan nanti.

Bahagian Bawah Komputer Riba

Seterusnya, dua pembesar suara dengan rekaan kekisi audio yang agak besar diletakkan pada bahagian bawah. Kemudian, terdapat juga satu lohong udara sebagai sistem penyejukan komponen dalaman. Dalam pada itu, terdapat juga tiga pelapik getah bertujuan untuk memastikan bahagian bawah komputer riba ini tidak mudah calar. Sebelum terlupa, izinkan kami bercakap sedikit mengenai rekaan engsel – yang mana ianya baik-baik.

Sokongan Pengimbas Cap Jari

Seperti kebanyakan generasi sebelumnya, sebuah pengimbas cap jari terbina di dalam butang kuasa turut terletak bersebelahan dengan papan kekunci. Sistem sekuriti tersebut menyokong perisian Windows Hello terbina – yang membolehkan proses untuk log masuk lebih mudah tanpa perlu memasukkan kata laluan. Dari segi prestasi, kedua-duanya mampu berfungsi dengan baik dan tepat. Bergerak ke palam I/O, ia mempunyai beberapa pilihan yang memadai – seperti USB-C x 1, USB 3.2 Gen 1 (USB-A) x 1, USB 2.0 (USB-A) x 2, bicu audio 3.5mm dan HDMI x 1.


Papan Kekunci & Pad Sesentuh

Mengulas lebih lanjut mengenainya, ia juga mempunyai sokongan papan kekunci yang baik. Bukanlah yang terbaik sekali, tetapi masih mampu sahaja memberikan tahap keselesaan yang memuaskan ketika digunakan. Kami juga tidak mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengan papan kekunci ini. Bahkan, rekaan dan susun atur setiap kekunci yang digunakan juga dirasakan baik-baik sahaja. Boleh dikatakan, pengalaman menekan setiap satu kekunci terasa memuaskan kerana ia memberikan maklum balas yang responsif.

Papan Kekunci

Melaluinya juga, kami boleh menaip dengan selesa untuk tempoh masa yang lama tanpa sebarang masalah. Bukan itu sahaja, ia juga seronok untuk digunakan kerana tiada masalah kelewatan pada skrin yang berlaku. Ia bagaimanapun, masih bergantung kepada cita rasa masing-masing. Sebabnya, mungkin akan terdapat juga sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat peribadi kami.

Biarpun begitu, komen negatif harus kami berikan pada ketiadaannya sokongan lampu pada papan kekunci. Kalau perasan, hanya kekunci Caps Lock, FN dan F7 sahaja yang disertakan dengan lampu LED bewarna putih – ini sebagai makluman kepada pengguna yang mana kekunci-kekunci berkenaan sedang diaktifkan. Lain-lain kekunci secara keseluruhannya langsung tidak disertakan dengan sokongan untuk lampu tersebut.

Pengalaman Menaip Yang Selesa

Ini sebenarnya agak menyukarkan kami untuk menaip di dalam keadaan gelap – terutamanya ketika menyiapkan sebarang kerja yang perlu pada waktu malam. Secara tidak langsung, kekerapan berlakunya kesalahan ejaan atau typo ketika menaip adalah begitu kerap. Apabila ini berlaku, ia akan menyebabkan kami mengambil sedikit masa untuk menyiapkan kerja yang sedang dibuat.

Bercakap mengenai pad sesentuh, ia mempunyai saiz yang lebar dan mampu berfungsi dengan baik. Permukaannya yang agak licin turut memudahkan setiap pergerakan jari. Pada masa sama, butang untuk melakukan klik juga terasa memuaskan. Boleh dikatakan, apa-apa aktiviti yang melibatkan penggunaan pad sesentuh dapat dilakukan dengan lancar dan setiap kawalan gesture juga mudah sahaja diakses.


Pengalaman Penggunaan

Dari pengalaman penggunaan, kami tidak mempunyai banyak perkara negatif yang mahu diberikan. Saiznya yang nipis dan ringan memberikan pengalaman penggunaan yang terasa baik. Ia sememangnya selesa untuk boleh dibawa ke mana-mana dan digunakan pada bila-bila masa. Tidak kira sama ada meletakkannya di atas meja mahupun paha, pengalaman yang dirasai mampu memuaskan sesiapa sahaja yang memilikinya.

Skrin 15.6-inci IPS yang digunakan turut mampu menyajikan kualiti cukup baik. Anda akan perasan segala kandungan visual atau video yang dipaparkan pada skrin nampak baik sekali. Ianya cukup jelas, tajam dan sudut pandangan juga memuaskan. Bukan itu sahaja, skrinnya yang turut mempunyai pengiktirafan TÜV Rheinland yang sangat membantu dalam mengurangkan pencahayaan sinar biru untuk keselesaan mata. Jadinya, penggunaan untuk jangka masa yang lama tidak mengakibatkan masalah sakit mata. Akan tetapi, ia bergantung juga pada pengguna itu sendiri. Sebelum terlupa, skrinini tidak didatangkan dengan sokongan sesentuh.

Cip Grafik Intel Xe

Begitu juga prestasi. Di mana, apa yang boleh dikatakan kami tidak berhadapan dengan sebarang isu melampau. Seperkara lagi yang anda tahu adalah seperti biasa rangkaian Huawei MateBook tidaklah memfokuskankan kepada permainan video yang menyeluruh. Tetapi, ianya lebih memberi manfaat kepada produktiviti harian. Pengenalannya boleh dianggap bersesuaian seiring keadaan semasa yang berlaku. Di mana, ramai pihak digesa untuk bekerja dari rumah sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19. Makanya, komputer riba yang baik diperlukan untuk pelbagai kerja seperti menaip, berkomunikasi mahupun penghantaran dokumen-dokumen penting.

Markah Penanda Aras CrystalDisk
Markah Penanda Aras PCMark 10

Tidak dinafikan, kemampuan melakukan pelbagai tugasan asas dirasakan cukup memuaskan – ia merangkumi banyak benda sama ada bertujuan untuk kegunaan kerja mahupun hiburan. Bukan itu sahaja, pada penggunaan biasa bunyi kipas juga hampir tidak kedengaran. Melainkan jika ‘Performance Mode’ diaktifkan, desiran kipas akan mula disedari dan sekitar permukaan komputer riba mula memanas. Mod ini boleh diaktifkan dengan cara menekan kekunci FN+P dan sila pastikan komputer riba ini bersambung dengan pengecas sewaktu penggunaan. Jika tidak, mod turbo ini tidak boleh diaktifkan.

Cara Mengaktifkan Fungsi ‘Performance Mode’

Tidak ketinggalan, terdapat juga fungsi Huawei Share yang mampu memudahkan sambungan terus ke peranti pintar atau tablet. Melaluinya, sebarang pemindahan data boleh dibuat dengan mudah tanpa kabel. Bukan itu sahaja, sebarang panggilan yang diterima daripada telefon pintar turut boleh dijawab menerusi komputer riba – apabila kedua-dua peranti disambungkan. Tapi syaratnya, peranti pintar atau tablet yang digunakan haruslah daripada rangkaian Huawei sendiri. Pada pada sama, ia juga perlu mempunyai sokongan NFC dan menjalankan sistem operasi EMUI 11 atau ke atas. Untuk lebih lanjut, di sini kami sertakan pautan berkaitan Huawei Share untuk pemahaman lebih mendalam.

Fungsi Huawei Share

Seterusnya, pembesar suara juga mampu menghasilkan bunyi audio yang kuat dan jelas. Boleh dikatakan ia mampu sahaja memberikan pengalaman mendengar audio yang memuaskan. Namun begitu, sedikit komen ingin kami berikan mengenai kelantangan audio. Di mana, ia masih bergantung kepada kehadirannya permukaan yang keras untuk memantulkan audio terus ke telinga. Misalnya seperti, meletakkannya di atas permukaan meja atau sebarang permukaan yang keras – pengalaman audio akan menjadi lebih baik. Ini disebabkan oleh kedudukan pembesar suaranya yang diletakkan pada bahagian bawah komputer riba.

Seperkara lagi, kedudukan untuk kameranya menerima sedikit reaksi negatif daripada kami. Berbalik kepada beberapa perenggan di atas, kami ada mengatakan ia mungkin mempunyai tujuan yang baik. Tetapi, dalam tidak sedar ia sebenarnya masih ada kelemahan. Misalnya, kedudukan kamera ini adalah tetap tanpa sebarang kebolehan untuk membuat perubahan sudut pandangan.

Ini berbeza dengan komputer riba biasa yang disertakan kamera web pada bahagian bingkai atas skrin – di mana sudut pandangan masih boleh diubah dengan melaras bukaan skrin. Bukan itu sahaja, masalah lain yang dihadapi oleh kami adalah gerakan jari-jemari akan menggangu pandangan kamera apabila ia digunakan untuk panggilan video sambil menaip pada waktu yang sama. Lebih mengeruhkan keadaan, pandangan kamera ini akan terus tertutup disaat kami menekan kekunci pada pad angka di barisan kedua teratas. Situasi yang berlaku sedikit sebanyak menimbulkan perasaan kurang senang pada kami.


Bateri

Huawei MateBook D15 11th i5 (2021) dibekalkan bateri berkapasiti 42Wh. Melaluinya, ia dilihat mampu bertahan sekitar 3 sehingga hampir 4 jam dengan bateri yang berbaki sekitar 10%. Melaluinya, kami menetapkan kecerahan skrin sekitar tahap 50%. Kemudian, kami menggunakannya untuk pelbagai tugas harian seperti menaip artikel, menonton video, melayari web dan lain-lain. Seterusnya, pengecas 65W yang disertakan menggunakan sambungan USB-C untuk tujuan pengecasan. Pada masa sama, kabel ini turut boleh digunakan untuk tujuan pemindahan data. Apabila kehabisan bateri, proses pengecasan semula mengambil masa lebih kurang 2 jam.


Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Huawei MateBook D 15 (2021) merupakan komputer riba yang baik. Ia bukan sahaja tampak premium di luaran. Bahkan, dalamannya juga mampu untuk menyajikan prestasi cukup baik untuk kegunaan tugasan harian. Tiada masalah melampau yang berlaku sepanjang tempoh kami menggunakannya. Papan kekunci juga selesa sahaja untuk digunakan. Cuma kurangnya, ketiadaan sokongan lampu mengakibatkan sedikit kesukaran untuk menaip di tempat yang gelap.

Huawei MateBook D15 11th i5 (2021)

Bagi yang berminat, Huawei MateBook D15 11th i5 (2021) boleh dibeli pada harga RM3899. Namun usah risau, masih terdapat beberapa lagi pilihan lain dengan harga sedikit rendah seperti Huawei MateBook D15 10th i3 (2021) yang berharga RM2599. Seterusnya, Huawei MateBook D15 10th i5 (2021) pula ditawarkan pada RM3,299. Jangan lupa dapatkan sementara stok masih ada.


PRO

  • Sinonim dengan penampilan kemasan yang elegen dan premium.
  • Binaan yang tidak membebankan dan mudah digunakan di mana-mana dalam apa jua keadaan.
  • Skrin yang terang dengan binaan bingkai yang nipis.
  • Spesifikasi yang baik dengan kemaskini cip Intel Core i5 generasi terkini, saiz RAM yang besar dan SSD pantas untuk kegunaan harian.
  • Papan kekunci yang selesa untuk proses menaip – dipadankan dengan pad sesentuh yang baik.

KONTRA

  • Tiada sokongan untuk skrin sesentuh.
  • Hayat bateri sekadar memadai.
  • Kamera web yang tidak boleh dilaras sudut pandang & resolusi yang amat rendah.
  • Tiada sokongan lampu papan kekunci.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami