Siri OnePlus TV U1S Dilancarkan Dengan Skrin 4K Dan Audio Dynaudio

Diterbitkan pada Jun 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tirai acara OnePlus Summer Launch dibuka dengan pelancaran televisyen pintar terkini mereka yang dikenali sebagai OnePlus TV U1S. Melaluinya, ia didatangkan dalam tiga pilihan saiz skrin yang berbeza iaitu 50-inci, 55-inci dan 65-inci. Ia juga mempunyai binaan bezel yang nipis selari dengan trend rekaan kebanyakan televisyen di pasaran ketika ini.

Untuk spesifikasi khusus, ketiga-tiganya berkongsi penawaran yang sama. OnePlus TV U1S 50″, OnePlus TV U1S 55″ dan OnePlus TV U1S 65″ mempunyai resolusi UHD sehingga 4K dengan sokongan HDR 10 dan HDR 10+ untuk pengalaman paparan lebih baik. Dalam pada itu, televisyen ini juga dilengkapi sistem audio 30W dengan sokongan Dolby Audio yang ditala oleh Dynaudio untuk pengalaman kualiti audio lebih baik.

Seterusnya, televisyen ini turut dipadankan dengan memori 2GB RAM dan 16GB storan dalaman secara terbina. Tidak ketinggalan, ia juga menjalankan sistem operasi Android TV (Android 10) berasaskan OxygenPlay 2.0, fungsi dipanggil ‘Speak Now‘ yang memboleh kawalan menggunakan suara dibuat (termasuk kebolehan menyeru pembantu maya seperti Google Assistant atau Alexa) dan fungsi OnePlus Connect 2.0 untuk kebolehan kawalan televisyen lebih mudah.

Setiap televisyen ini juga didatangkan dengan alat kawalan jauh yang agak ringkas. Bukan itu sahaja, OnePlus turut hadir dengan aksesori kamera TV OnePlus secara berasingan – yang dilengkapi dengan penutup manual dan dwi-mikrofon terbina untuk pengurangan bunyi. Sambungan boleh dibuat di antara televisyen dan kamera melalui kabel USB. Buat masa ini, televisyen ini hanya diumumkan untuk pasaran di India dengan harga bermula INR39,999 (~RM2,256).

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami