Carian
Dengan Kecerdasan Buatan Google Memendekkan Masa Rekaan Cip Dari Berbulan Ke Beberapa Jam
June 11, 2021 Effi Saharudin

Sejak dari awal lagi, rekaan cip komputer dihasilkan oleh manusia. Ini mengambil masa yang lama kerana pada cip terdapat jutaan transistor dalam saiz cip yang semakin mengecil. Di Google, tugas menghasilkan rekaan cip TPU (tensor processing unit) kini dilakukan oleh kecerdasan buatan.

Google Cloud TPU v3

TPU adalah cip yang digunakan khusus untuk pemprosesan kecerdasan buatan. Dengan kata lain kecerdasan buatan kini menghasilkan cip yang akan memajukan lagi kecerdasan buatan. Dalam kertas kajian yang telah diterbitkan dalam jurnal Nature, kecerdasan buatan mampu menghasilkan cip TPU dalam masa hanya enam jam. Proses yang sama apabila dilakukan oleh manusia mengambil masa beberapa bulan.

Masa banyak dihabiskan melakukan proses floorplanning iaitu memikirkan di mana pelbagai komponen perlu diletakkan pada sebuah cip dan bagaimana ia akan disambungkan antara satu sama lain. Ini memerlukan sambungan wayar bersaiz mikro sepanjang puluhan kilometer dalam cip yang hanya besaiz beberapa milimeter. Kecerdasan buatan dilatih untuk melihat 10,000 floorplan pelbagai jenis cip sebelum diarahkan untuk menghasilkan rekaan floorplan tersendiri.

Sumber Nature

Komen